KUALA LUMPUR – Penduduk Malaysia pada tahun 2023 dianggarkan 33.4 juta dengan kadar pertumbuhan 2.1 peratus berbanding 3.6 peratus pada tahun 1970 (10.9 juta) dengan Selangor mencatatkan negeri paling ramai penduduk pada tahun 2023 iaitu 7.2 juta dan Labuan merekodkan penduduk terendah iaitu 0.1 juta.
Malaysia telah mengalami fasa penurunan Kadar Kelahiran Kasar (CBR) mulai tahun 1958 iaitu 43.3 kelahiran kepada 12.9 kelahiran pada tahun 2022 bagi setiap 1,000 penduduk.
Pada 2022, Terengganu merekodkan CBR tertinggi dengan 21.3 kelahiran, manakala Kuala Lumpur merekodkan CBR terendah iaitu 10.1 kelahiran.
Di peringkat daerah, CBR tertinggi direkodkan di Song, Sarawak dan Kuala Terengganu, Terengganu dengan 24.3 kelahiran nmanakala daerah Kinabatangan, Sabah merekodkan kadar terendah iaitu 4.6 kelahiran.
Kadar kesuburan jumlah (TFR) sejak lima dekad yang lalu menunjukkan penurunan ketara daripada 4.9 anak pada 1970 kepada 1.6 anak pada 2022.
Bagi tempoh 1970 hingga 2012, TFR kekal di atas paras penggantian sebanyak 2.1 anak yang menunjukkan purata bilangan anak yang dilahirkan oleh seorang wanita sepanjang tempoh kesuburannya mencukupi untuk menggantikan dirinya dan pasangan.
Bagaimanapun, TFR menurun di bawah paras penggantian mulai tahun 2013 hingga kini.
Pada tahun 2022, Melayu mencatatkan TFR tertinggi iaitu 2.1 anak, manakala Cina merekodkan TFR terendah iaitu 0.8 anak.
Semua negeri merekodkan TFR di bawah paras penggantian kecuali tiga negeri iaitu Terengganu (2.9 anak), Kelantan (2.7 anak) dan Pahang (2.1 anak). Pulau Pinang dan Kuala Lumpur merekodkan TFR terendah dengan 1.2 anak.
Berdasarkan statistik semasa, purata umur perkahwinan perempuan menunjukkan peningkatan daripada 24.7 tahun (1990) kepada 28.9 tahun pada 2022.
Peningkatan purata umur pengantin perempuan ini akan mempengaruhi purata umur ibu pada kelahiran hidup pertama yang menunjukkan peningkatan kepada 27.9 tahun (2022) berbanding 25.6 tahun pada tahun 1990.
Seorang bayi yang lahir pada 2023 secara purata dijangka hidup sehingga 74.8 tahun.
Bayi lelaki dan perempuan yang lahir pada tahun 2023 dijangka hidup masing-masing sehingga purata umur 72.5 dan 77.4 tahun berbanding 61.6 dan 65.6 tahun pada tahun 1970.
Jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut negeri bagi tahun 2023 dicatatkan di Selangor (78.1), manakala Terengganu (71.2) mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah.
Lima negeri mencatatkan jangkaan hayat melebihi paras nasional iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan Sarawak.
Pada tahun 2023, daerah pentadbiran Petaling, Selangor (80.5 tahun) mencatatkan jangkaan hayat tertinggi, manakala kecil Lojing, Kelantan (62.8 tahun) mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah.
Secara keseluruhan, 31 daripada 156 daerah melepasi jangka hayat di peringkat nasional.
Peningkatan jangka hayat dan penurunan kadar kelahiran telah menyebabkan berlakunya peralihan struktur umur.
Ini merupakan fenomena global di mana pertumbuhan penduduk yang perlahan dalam kalangan umur muda (0-14 tahun), manakala peningkatan penduduk umur tua (65 tahun dan lebih) semakin cepat.
Peratusan umur muda (0-14 tahun) menurun daripada 44.9 peratus (1970) kepada 22.6 peratus pada 2023.
Peratusan penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) meningkat kepada 70 peratus (2023) berbanding 52.1 peratus pada 1970. Manakala, penduduk umur tua (65 tahun dan lebih), meningkat daripada 3.1 peratus (1970) kepada 7.4 peratus (2023).
Komposisi penduduk umur muda (0-14 tahun) tertinggi dicatatkan di Putrajaya dengan 36.1 peratus dan yang terendah di Kuala Lumpur (18.2%). Peratusan penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) tertinggi di Kuala Lumpur (75.0%) dan terendah di Putrajaya (62.2%).
Bagi komposisi penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua), Perak merekodkan peratusan tertinggi iaitu 9.7 peratus manakala terendah di Putrajaya (1.7%).
Di peringkat daerah, komposisi penduduk umur muda (0-14 tahun) tertinggi dicatatkan di Kecil Lojing, Kelantan dengan 35.3 peratus dan terendah di Bagan Datuk, Perak (15.6%). Sebauh, Sarawak (80.2%), mencatatkan peratusan penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) tertinggi dan terendah di Tumpat, Kelantan (60.1%).
Manakala komposisi penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) tertinggi di Lubok Antu, Sarawak (14.4%) dan terendah di daerah Kecil Lojing, Kelantan (2.7%).
Ageing society merujuk kepada keadaan di mana peratusan penduduk berumur 65 tahun dan ke atas mencapai 7.0 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk. Pada 2023, bilangan penduduk berumur 65 tahun dan ke atas meningkat kepada 2.5 juta (7.2%) berbanding 0.2 juta (5.0%) pada tahun 1970.
Berdasarkan Dasar Warga Emas Negara (DWEN), Malaysia dijangka mencapai negara menua pada 2030 dengan peratusan penduduk berumur 60 tahun dan lebih adalah 15.3 peratus.
Dividen demografi merujuk kepada pengurangan nisbah tanggungan yang dapat mencipta peluang pertumbuhan ekonomi jika dimanfaatkan dengan berkesan.
Nisbah tanggungan adalah merujuk kepada nisbah tanggungan kumpulan umur muda (0-14 tahun) dan/ atau umur tua (65 tahun dan lebih) kepada 100 orang penduduk kumpulan umur bekerja (15-64 tahun).
Nisbah tanggungan jumlah pada 2023 adalah 42.9 berbanding 92.1 (1970) apabila bilangan penduduk dalam umur bekerja (15-64 tahun) meningkat dan nisbah tanggungan menurun terdapat peluang untuk meningkatkan simpanan dan pelaburan kerana perbelanjaan untuk pendidikan dan penjagaan kesihatan berkurang.
Peratusan penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) meningkat kepada 70 peratus (2023) berbanding 52.1 peratus pada 1970.
Nisbah tanggungan umur muda berkurang dengan ketara daripada 86.2 (1970) kepada 32.3 (2023), manakala nisbah tanggungan umur tua meningkat daripada 5.9 peratus (1970) kepada 10.6 peratus (2023).
Pengurangan nisbah tanggungan seharusnya dapat meningkatkan pendapatan relatif penduduk.
Pendapatan ini boleh meningkat jika kadar kesuburan lebih rendah yang akan mendorong peningkatan kadar penyertaan tenaga buruh wanita dan seterusnya meningkatkan jurang pertumbuhan antara tenaga buruh dan penduduk.
Kadar kesuburan yang lebih rendah serta peralihan struktur umur dapat mempercepatkan pertumbuhan ekonomi.
Kesimpulannya, kata Jabatan Perangkaan, landskap kesuburan Malaysia telah mengalami perubahan yang ketara dengan penurunan daripada 4.9 anak pada 1970 kepada 1.6 anak pada 2022, di bawah paras penggantian sejak 2013.
Peralihan ini berkait rapat dengan kelewatan perkahwinan di mana perempuan memilih untuk merancang keluarga pada usia yang lebih berumur kerana mengejar pendidikan dan kerjaya.
Purata umur perkahwinan juga telah meningkat dengan ketara, daripada 24.7 tahun (1990) kepada 28.9 pada 2022, memberi kesan kepada tahap kesuburan.
Sekiranya trend penurunan kesuburan berterusan, saiz isi rumah Malaysia juga akan mengecil pada masa akan datang.
Berdasarkan dapatan Banci Malaysia 2020, purata saiz isi rumah persendirian di Malaysia menurun daripada 5.5 pada 1970 kepada 3.9 orang pada 2020.
Selain itu, situasi ini juga akan mengakibatkan bilangan penduduk Malaysia berkurang.
Dalam pada itu, Jabatan Perangkaan berkata, penduduk dunia telah bertambah kepada 8.1 billion pada tahun ini berbanding 1 bilion pada tahun 1800.
Walaupun penduduk dunia terus berkembang, pertumbuhannya semakin perlahan sejak tahun 1950 disebabkan penurunan kadar kesuburan.
Kadar kelahiran kasar (CBR) di peringkat dunia merekodkan 17.0 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk.
Dalam kalangan negara ASEAN, Filipina merekodkan CBR tertinggi dengan 21.6 kelahiran pada 2022, manakala Singapura merekodkan CBR terendah dengan 7.1 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk.
Bagi negara maju terpilih, Australia merekodkan CBR tertinggi dengan 11.5 kelahiran pada 2022, sementara Korea merekodkan CBR terendah dengan 5.6 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk pada 2022.
Kadar kesuburan jumlah (TFR) di peringkat dunia merekodkan 2.3 anak, manakala TFR Malaysia 1.6 anak pada 2022.
Pada tahun 2022, lima negara dalam kalangan negara ASEAN iaitu Filipina (2.7), Laos (2.4), Kemboja, (2.3), Indonesia (2.2) dan Myanmar (2.1) merekodkan TFR di atas paras penggantian.
Dalam kalangan negara maju terpilih pula, Amerika Syarikat merekodkan TFR tertinggi iaitu 1.7 anak, manakala Korea terendah dengan 0.9 anak bagi setiap perempuan berumur 15-49 tahun. – MalaysiaGazette