Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf pada sidang media mengenai kejayaan menumpaskan sindiket jenayah komersial di Menara KPJ, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 JULAI 2024

KUALA LUMPUR – Skim pelaburan berkaitan perniagaan ayam kampung atas nama Pelaburan Ayam Kampung Pertubuhan Amal Kita Kinta Perak tumpas susulan penahanan 11 individu baru-baru ini.

Mereka yang ditahan itu dicekup dalam serbuan bersepadu di beberapa premis di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Terengganu dan Labuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Komisioner Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan awal mendapati mereka yang berusia 38 hingga 56 tahun itu berperanan sebgai pengasas, pengarah, setiausaha, kerani, egen dan sukarelawan dalam pertubuhan tersebut.

Pemeriksaan lanjut juga membawa kepada rampasan 13 buah kenderaan mewah antaranya Mustang, Mini Cooper, Mercedes Benz yang kesemuanya bernilai RM2.9 juta,” katanya dalam sidang media mingguan di Menara KPJ, Jalan Tun Razak hari ini.

Turut dirampas wang tunai bernilai RM1,000, 13 utas rantai emas, dua bentuk cincin emas, 20 telefon bimbit, empat unit tablet, 17 unit komputer riba, lapan buku cek, 37 keeping kad bank, 12 set dokumen, 11 cop, 17 banner serta beberapa barangan lain yang disyaki berkaitan dengan kegiatan penipuan tersebut.

Menurutnya, modus operandi sindiket berkenaan menawarkan pelaburan minimum RM250 dan dijanjikan pulangan sebanyak RM13 sebulan atau boleh ditukar dengan seekor ayam kampung.

“Wang pelaburan itu dimasukkan ke dalam akaun bank yang didaftarkan atas nama pertubuhan terbabit namun bermula September 2023, pelabur tidak lagi menerima keuntungan yang dijanjikan.

“Pasukan siasatan Pengubahan Wang Haram (AMLA) setakat ini telah melaksanakan pembekuan di bawah AMLATFPUAA 2001 terhadap 34 akaun bank dan unit amanah bernilai keseluruhan RM6,564,278.79.

“Pasukan polis juga menyita 13 kenderaan mewah bernilai RM2.979 juta bersama 2,143 ekor kambing baka shami/biri-biri yang nilainya belum diperoleh lagi.

“Setakat ini, polis menerima sebanyak 85 laporan di seluruh negara melibatkan penipuan skim pelaburan berkenaan dengan nilai kerugiannya mencecah RM3.297 juta dan kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” ujarnya. – MalaysiaGazette