Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KUALA NERUS-Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah menghalang mana-mana ahli atau wakil rakyatnya untuk mengkiriti atau menyuarakan pandangan.

Bagaimanapun menurut Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebarang pandangan atau pendapat perlu disalurkan secara dalaman.

Katanya, ini bagi mencari jalan penyelesaian kepada setiap percangahan atau perbezaan pendapat yang dibangkitkan oleh ahli parti atau wakil rakyat di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Saya minta ketua parti masing-masing selesaikan masalah itu jika ada di kalangan ahli-ahli Parlimen yang bercanggah pendirian dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan.

“Saya yakin masalah tersebut boleh disantuni. Perbezaan pandangan itu biasa tetapi apabila parti membuat keputusan ia harus diikuti, itu pendirian kita,” katanya ketika bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, UMNO tidak pernah takut untuk berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) sekiranya berlaku kekosongan di enam kerusi Parlimen yang diwakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Jelasnya,parti tersebut bersedia bertanding jika berlaku PRK di enam Parlimen berkenaan.

“Bukan kerana itu (takut pada kekalahan jika kerusi dikosongkan). Keenam kerusi tersebut dahulu adalah kerusi UMNO.

“Walau kosong pun UMNO akan bertanding. Dalam politik mana boleh takut nak bertanding,” katanya.

Sebelum ini, Bersatu mendakwa Kerajaan Perpaduan takut mengisytiharkan kekosongan di enam kerusi Parlimen dan satu Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana bimbang berhadapan kekalahan.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, oleh kerana itu kerajaan sanggup melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan meskipun bertentangan asas perjuangan pihak tersebut selama ini.- MalaysiaGazette