Onn Hafiz (dua kiri) dan Nur Jazlan (tengah) menyampaikan sijil penghargaan dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – UMNO Johor mengingatkan mana-mana pihak agar
tidak campur tangan atau menafikan hak ahli untuk bersuara dalam mesyuarat perwakilan bahagian yang sedang berlangsung di negeri ini ketika ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pemimpin atau ahli UMNO tidak wajar dihalang atau disekat untuk bersuara atas pentas sendiri.

“Jika tidak boleh bersuara di platform sendiri, di mana lagi ahli dan perwakilan kita ingin bersuara sedangkan pimpinan tertinggi parti yang minta kita suarakan sebarang isu dalam keluarga UMNO sendiri.

“Kita turut berharap pemimpin dan ahli UMNO daripada pelbagai peringkat sedar dengan realiti semasa ketika ini iaitu majoriti masyarakat Melayu tidak lagi melihat UMNO sebagai parti politik pilihan mereka.

“Realitinya majoriti orang Melayu tidak lagi melihat kita sebagai pejuang mereka. Lebih cepat kita sedar perkara ini lebih cepat kita dapat buat perubahan, jadi seharusnya kita berpijak di bumi nyata,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Johor berkata demikian semasa berucap dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Naib Ketua Pemuda UMNO Pusat, Mohd Hairi Mad Shah dan Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman.

Kelmarin, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad menyifatkan kenyataan Onn Hafiz bahawa UMNO perlu merampas semula kerusi Parlimen Sri Gading daripada Pakatan Harapan (PH) sebagai kurang cermat.

Beliau mendakwa kenyataan Onn Hafiz itu seolah-olah mempunyai agenda dan bertentangan dengan semangat kerjasama serta keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan.

Onn Hafiz sewaktu berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading baru-baru ini dilaporkan berkata, inisiatif untuk merampas semula kerusi Parlimen Sri Gading perlu dilakukan UMNO.

“Hanya perwakikan yang tahu apa berlaku di Sri Gading. Saya tidak mempunyai jawapan tetapi UMNO Bahagian Sri Gading perlu melihat dan memastikan, terutama ahli bersama-sama kita,” ujar Onn Hafiz.

Sementara itu, Onn Hafiz menuntut Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat untuk mengotakan janjinya membantu penduduk di Parlimen berkenaan termasuk ahli-ahli UMNO bahagian tersebut.

Beliau mendakwa, Suhaizan telah menjanjikan perkara itu semasa berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, tahun lalu.

Katanya, jentera UMNO khususnya Bahagian Pulai telah bekerja keras bagi membolehkan Suhaizan memenangi kerusi Parlimen berkenaan dengan majoriti undi lebih 18,000.

“Suhaizan yang merupakan calon Kerajaan Perpaduan daripada Parti Amanah Negara (Amanah) telah berjanji bahawa dia tidak akan mensia-siakan kemenangan di PRK berkenaan dan akan bantu ahli-ahli UMNO di sini.

“Jadi sekarang dia sudah menjadi Ahli Parlimen dan hari ini kita tuntut agar perkara itu dilaksanakan,” katanya disambut sorakan gemuruh daripada perwakilan.

Tambahnya, perkara itu penting kerana jentera UMNO dan BN Pulai telah memainkan peranan signifikan dalam memastikan calon Pakatan Harapan (PH) itu memenangi kerusi berkenaan. – MalaysiaGazette