KUALA LUMPUR – “Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam jangan acah-acah berfikir di luar kotak tetapi bercakap seperti fikiran di luar otak,” demikian menurut Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Mohd Safwan Jaafar.
Katanya, Lokman juga tidak sepatutnya menjadi ahli politik yang berfikiran sempit dengan menghalalkan perkara yang pernah menjadi perkara paling utama sebelum Akta Anti Lompat Parti diwujudkan.
Safwan berkata demikian susulan kenyataan Lokman yang mendakwa Ketua Pemuda UMNO adalah jurucakap kepada Perikatan Nasional (PN).
Ia susulan pendirian Dr Akmal Saleh berkenaan keputusan Speaker Dewan Rakyat berkenaan kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong perdana menteri dikekalkan.
Menurut Safwan, tindakan yang dilakukan oleh enam orang ahli Bersatu itu adalah satu pengkhianatan kepada hak rakyat yang memilih mereka di kawasan Parlimen masing-masing.
“Jika perkara ini dibenarkan dan disokong oleh orang-orang politik seperti Lokman Adam, maka Akta Anti Lompat Parti ini akan diabaikan dan tidak praktikal lagi,” katanya.
Tambah beliau, rakyat tidak mahu lagi terwujudnya katak-katak politik yang akan menjejaskan kestabilan politik negara.
Sebaliknya, rakyat mahu ahli Parlimen, Menteri dan kerajaan menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka.
Sebelum ini, media melaporkan Lokman mengingatkan Akmal supaya tidak menjadi jurucakap kepada PN berhubung isu enam Ahli Parlimen Bersatu yang dikekalkan kerusi mereka di Dewan Rakyat.
Ia susulan kenyataan Akmal yang menyifatkan Akta Anti Lompat Parti yang diperjuangkan selama ini disia-siakan demi kepentingan diri.
Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, tindakan segelintir pihak yang mementingkan diri mengakibatkan rakyat membenci ahli politik.
“Maka sia-sialah Akta Anti Lompat Parti yang diminta oleh rakyat selama ini.
“Kestabilan politik hanya untuk kepentingan diri. Jangan marah rakyat jika rakyat benci kepada orang politik. Selamat menjahanamkan negara wahai katak-katak politik,” katanya. – MalaysiaGazette