Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

KUALA LUMPUR – Jumlah kerugian membabitkan kes jenayah komersial di negara ini mencatatkan peningkatan sebanyak 83 peratus kepada lebih RM1.2 bilion sehingga 7 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, angka kes komersial setakat minggu ke-27 ini merekodkan nilai kerugian tertinggi berbanding tempoh sama pada tahun 2023.

“Statistik mencatatkan angka kerugian bagi kes jenayah komersial telah mencecah RM1,207,620,852.73 bagi tahun 2024.

“Jumlah ini sekali gus merekodkan peningkatan ketara jika dibandingkan dengan RM660,886,627.91 yang dicatatkan bagi tempoh sama pada 2023,” katanya menerusi kenyataan pada hari ini.

Menurut beliau, nilai kerugian tinggi ini susulan daripada jumlah kes jenayah komersial yang telah mencatatkan kenaikan.

Menurut statistik terbaharu PDRM menunjukkan sebanyak 15,500 kes jenayah komersial telah direkodkan bersamaan dengan purata 65 kes sehari bagi tempoh sehingga 7 Julai pada tahun ini.

“Secara perbandingan, jumlah kes meningkat sebanyak 34 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu yang menunjukkan sejumlah 11,546 kes jenayah komersial.

“Peningkatan ini merupakan satu cabaran yang menuntut komitmen tinggi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya JSJK dalam memerangi jenayah berkaitan komersial di negara ini.

“Sehingga kini, ia telah dapat ditangani dengan baik dan telah dizahirkan melalui 5,559 kertas siasatan yang telah berjaya dituduh di mahkamah pada tahun ini.

“Justeru, kadar pertuduhan ini lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun 2023 yang mencatatkan sejumlah 2,218 pertuduhan,” katanya lagi.

Tegas Ramli, peningkatan kes jenayah komersial ini turut memerlukan kerjasama komitmen bersama segenap lapisan masyarakat khususnya dari aspek pencegahan.

“PDRM menyeru penglibatan setiap lapisan masyarakat sentiasa cakna dengan pelbagai taktik dan modus operandi terkini jenayah komersial untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

“Selain itu, masyarakat turut diminta agar mengambil bahagian dalam pelbagai usaha pencegahan jenayah komersial yang sedang dijalankan PDRM,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette