MUHYIDDIN Yassin ketika berucap merasmikan Konvensyen Bersatu di IDCC Selayang, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan keyakinan parti itu mampu mempertahankan kerusi Nenggiri dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada 17 Ogos depan.

Menurut Muhyiddin, keyakinan itu berdasarkan sentimen sokongan rakyat pada masa ini yang semakin meningkat terhadap Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan supaya ahli dan pemimpin Bersatu tidak mengambil mudah PRK tersebut dan segera mempersiapkan jentera pilihan raya serta menyusun strategi bagi memastikan kemenangan.

“Saya juga minta semua bahagian Bersatu di seluruh negara untuk turun membantu kempen di Nenggiri,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Bersatu di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, data ketika ini menunjukkan sokongan rakyat kepada Bersatu semakin kuat dalam pilihan raya negeri dan siri PRK yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) walaupun parti itu merupakan pembangkang.

Ujar beliau, keputusan PRK Sungai Bakap misalnya adalah antara contoh apabila PN berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti hampir tiga kali ganda berbanding sebelumnya, manakala dalam PRK Kuala Kubu Bharu, sokongan kepada PN terutama daripada pengundi Melayu semakin meningkat.

Ujar beliau, sokongan yang semakin meningkat kepada PN itu disebabkan rakyat tidak lagi percaya kepada gabungan Kerajaan Perpaduan yang dilihat tidak mempunyai prinsip.

“Dulu janji turun harga minyak, sekarang naikkan harga minyak. Dulu tolak penyamun, sekarang selamatkan penyamun. Dulu janji mempertahankan kebebasan bersuara, sekarang sekat kebebasan bersuara.

“Dulu kecam wakil rakyat yang bertukar parti walaupun tindakan itu dibenarkan oleh perlembagaan, sekarang bela pelompat parti walaupun perbuatan itu jelas salah di sisi perlembagaan,” katanya.

Berbeza dengan PN, tambah Muhyiddin, gabungan parti itu tidak bertoleransi dengan `penyamun’ semata-mata untuk berkuasa.

“Kita tidak berkompromi dengan parti yang jelas berbeza prinsip perjuangan mereka dengan kita. Kerana itu kita tolak pembentukan kerajaan dengan mereka yang berbeza prinsip dengan kita.

“Kerana kita tahu, parti kita dan perjuangan kita akan rosak jika kita bersama-sama dengan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast