Rokok seludup yang dirampas pihak polis di Jalan Persiaran Aliff Harmoni Utama, Tampoi, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Polis merampas minuman keras dan rokok seludup bernilai RM725,324 dalam dua  serbuan berasingan di daerah ini pada kelmarin dan semalam.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, serbuan pertama dilakukan sepasukan Unit Risik Marin (URM)  Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua kira-kira pukul 7.30 petang kelmarin.

“Serbuan tersebut dilakukan di sebuah premis penyimpanan di Taman Megah Ria, Masai. Pihak polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun.

“Pemeriksaan menemukan sejumlah 14 kotak dan 70 karton yang mengandungi 686.75 liter minuman keras pelbagai jenis yang tidak bercukai kastam semuanya bernilai RM60,324.42,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Antara menimuan keras tidak bercukai yang dirampas PPM di sebuah premis penyimpanan di Taman Megah Ria, Masai, Johor Bahru, kelmarin

Katanya, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 76 Eksais 1976.

Jika sabit kesalahan katanya, boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kumar berkata, serbuan kedua dilakukan sepasukan polis dari Cawangan Risikan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman di Jalan Persiaran Aliff Harmoni Utama, Tampoi, pukul 9.30 malam semalam.

Menerusi serbuan itu kata beliau, pihaknya melakukan pemeriksaan sebuah lori dan menemukan sejumlah kotak disyaki rokok tidak bercukai dan menahan dua lelaki berusia 23 dan 29 tahun.

Pemeriksaan ke atas lori lima tan itu katanya, menemukan 105 kotak rokok yang disyaki tidak berkastam.

“Polis kemudian merampas rokok berkenaan berserta lori terbabit yang semua rampasan dianggarkan bernilai RM665,000.00,” katanya.

Menurut Kumar, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih tinggi.

“Mereka juga boleh dikenakan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih tinggi atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberitahu, pihaknya akan terus komited dalam melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap aktiviti penjualan minuman keras tidak berkastam dan juga aktiviti pemprosesan minuman keras tiruan.

“Masyarakat digesa supaya terus menyalurkan maklumat kepada polis tentang apa jua aktiviti yang menyalahi undang-undang dan peraturan supaya keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette