Lokman Noor Adam Foto WAN NABIL NASIR, 03 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, 17 Ogos depan menjadi peluang terbaik untuk UMNO menilai tahap sokongan orang Melayu terhadap parti itu.

Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, ia juga menjadi medan penting untuk UMNO membuktikan ahli-ahlinya tidak merajuk seperti yang diuar-uarkan banyak pihak sebelum ini.

Jelas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu, selain menjadi petunjuk prestasi sebenar buat UMNO, PRK itu juga akan menjadi ujian berganda dalam kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Selain itu, tambah beliau, ia juga akan menjadi penanda aras untuk melihat sama ada UMNO boleh bangkit semula atau masih memerlukan masa untuk memperbaiki pengaruhnya di Kelantan.

“Orang Nenggiri dan Gua Musang sudah pasti tahu macam mana Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) dan Aziz (bekas ADUN, Mohd. Azizi Abu Naim) jaga Nenggiri dan selepas itu digantikan dengan orang lain, macam mana orang baharu jaga. Jadi, saya yakin mereka akan kembali bersama BN.

“Ku Li sudah pun diangkat sebagai Pengarah PRK Nenggiri…pelantikan ini dilihat sebagai pengiktirafan terhadap beliau dan aura serta sentuhan beliau masih diperlukan di Parlimen Gua Musang dan DUN Nenggiri,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau malam ini.

Tambah Lokman, dengan majoriti tipis dimenangi PN pada pilihan raya negeri (PRN) lalu iaitu hanya 810 undi, peluang untuk UMNO merampas semula DUN Nenggiri itu masih terbuka.

Jelasnya, ia dapat dilakukan jika UMNO berjaya menarik semula sekurang-kurangnya 406 undi dalam kalangan pengundi pada PRN lalu selain memastikan pengundi baharu menyokong parti itu.

Begitupun, tambah beliau, kemenangan itu pastinya bukan mudah ketika terdapat banyak isu ketika ini yang boleh digunakan pembangkang untuk menyerang UMNO dan PH.

“Banyak isu nasional yang ditunjukkan (dibangkitkan) PN ketika PRK Sungai Bakap yang dijangka terus menjadi rantaian bahan kempen dalam usaha pembangkang untuk mempertahan kerusi ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast