Mohamad bertemu salah seorang penerima Anugerah Tokoh UMNO Bahagian Tenggara selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara di Dewan Dewan Sri Sayong, Felda Sungai Sayong, Tenggara, Kota Tinggi di sini hari ini.

KOTA TINGGI – Datuk Seri Mohamad Hasan sedia mempertahankan jawatan Timbalan Presiden UMNO sekiranya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan dalam pemilihan UMNO pada tahun 2026 nanti.

Beliau berkata, tiada halangan untuk dua jawatan itu dipertandingkan namun perlu berlangsung secara sihat selain memastikan parti tidak berpecah belah.

“Saya akan pertahanankan (jawatan Timbalan Presiden UMNO), kita akan bersilat sama-sama, kalah atau menang itu adat pertandingan dan biasa diamalkan dalam demokrasi yang sihat.

“Ini termasuk juga jawatan lain seperti di peringkat cawangan parti. Ini (pemilihan parti) untuk memantapkan dan memperkasakan parti terutama organisasi tersusun seperti UMNO.

“Untuk itu, pilihlah yang terbaik daripada yang baik-baik. Terpulang kepada perwakilan untuk buat pemilihan agar parti terus menjadi sebaik mungkin untuk berdepan
PRU (pilihan raya umum) atau PRN (pilihan raya negeri),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara di Dewan Sri Sayong, Felda Sungai Sayong di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Bahagian UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Mohamad yang juga Menteri Luar Negeri berkata, UMNO perlu kembali menjadi parti yang kuat seperti sebelum ini dan mengelak daripada berpecah belah.

Katanya yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, rahsia UMNO kuat dan disegani sebelum ini kerana bersatu padu sehingga disegani.

Pada 14 Januari tahun lalu, majoriti perwakilan UMNO yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 menyatakan sokongan terhadap usul supaya dua jawatan itu tidak dipertandingkan pada pemilihan parti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu diputuskan menerusi undian yang dijalankan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan mendapati majoriti perwakilan bangun dan mengangkat tangan menyokong usul tersebut. – MalaysiaGazette