Dr Adham (tiga kiri) diperhatikan Mohamad Hasan (Tiga kanan) menyampaikan Anugerah Tokoh UMNO Bahagian Tenggara selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara di Dewan Dewan Sri Sayong, Felda Sungai Sayong, Tenggara, Kota Tinggi di sini hari ini

KOTA TINGGI- UMNO Bahagian Tenggara mengusulkan agar pucuk pimpinan mengkaji semula hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, perkara itu pentingĀ  untuk kelangsungan politik UMNO terutama untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Selain itu katanya, UMNO Tenggara meminta agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang tidak dipertandingkan pada pemilihan parti sebelum ini, dipertandingan semula pada pemilihan akan datang.

“Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara telah meluluskan tiga usul yang telah diluluskan sebulat suara oleh semua perwakilan. Pertama jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO mesti dipertandingkan.

“Kedua, parti perlu menunaikan janji untuk membebaskan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang kini dipenjarakan kerana banyak jasanya kepada negara.

“Ketiga, lihat kembali hubungan UMNO dan DAP serta PH,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara di Dewan Sri Sayong, Felda Sungai Sayong, Tenggara di sini hari ini.

Adham berkata, UMNO Bahagian Tenggara sudah mempunyai pelan strategi untuk jentera bagi berdepan PRU16 dan pilihan raya negeri (PRN) kelak.

Ujarnya, Parlimen Tenggara yang mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja dan Panti yang merupakan deposit tetap UMNO setiap kali pilihan raya diadakan.

“UMNO berazam untuk mengekalkan kedudukan di kerusi Parlimen dan juga kedua-dua DUN ini. Oleh itu, perancangan juga dibuat khususnya dalam menggerakkan jentera dan mendekati golongan muda,” ujarnya.- MalaysiaGazette