Mohamad bersama perwakilan UMNO Bahagian Tenggara selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara di Dewan Dewan Sri Sayong, Felda Sungai Sayong, Tenggara, Kota Tinggi di sini hari ini

KOTA TINGGI – UMNO setuju sekiranya Akta Lompat Parti dikaji dan dipinda semula supaya tindakan wajar dan tegas dapat dikenakan terhadap wakil rakyat yang melompat parti.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, persetujuan itu bagi memperkasakan rang undang-undang tersebut dan wakil rakyat terbabit perlu mengosongkan kerusi yang secara jelas menunjukkan tidak sehaluan dengan parti mereka.

“Rang undang-undang yang ketat diperlukan agar isu lompat parti tidak lagi boleh dilakukan oleh ahli Parlimen.

“Pada saya elok kita kaji, bahkan saya kata kalau tidak dikaji, wajar perbetulkan buat satu rang undang-undang seperti di England.

“Contohnya di England, mereka ada ‘recall process’, yang mana jika ada ahli Parlimen mereka jelas tunjukkan tidak sehaluan dengn parti dan tidak bersama. Maka pengundi di kawasan mereka boleh membuat patisyen dan pungutan suara atau referendum.

“Mereka akan kumpulkan tandatangan pengundi sah dikawasan itu dan bawa patisyen kepada Parlimen. Jika patisyen lebih 50 peratus daripada pengundi di situ, maka perlu kosongkan kerusi dan pilihan raya perlu diadakan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Tenggara di Dewan Seri Sayong di Felda Sungai Sayong, Tenggara di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Menteri Luar memaklumkan Akta Antilompat Parti itu dikemukakan UMNO selepas parti itu ‘tercedera’ kerana ramai ahli Parlimennya melompat keluar selepas pilihan raya umum (PRU) pada 2018.

Katanya, perkara itu dikemukakan menerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Di bawah kluster perundangan dan reform Datuk Azalima kita telah mengemukakan supaya rang undang-undang antilompat parti mesti ada, kalau tidak negara kita sentiasa saja kucar- kacir diugut oleh mereka yang kadang-kadang lebih kepada kepentingan peribadi.

“UMNO dulu buat pindaan itu satu undang-undang padat dan ketat tapi banyak pula pihak yang tidak setuju, termasuk tidak perlu keluar parti, tidak perlu kosongkan kerusi jika ahli parlimen sokong parti sebelah (parti lain). Boleh dilihat dalam rakaman di Parlimen.

“Pada ketika itu pihak sebelah, mereka menolak cadangan diadakan rang undang-undang yang amat ketat supaya isu lompat parti tidak lagi boleh dilakukan oleh ahli Parlimen,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaaan kerajaan berbincang bagi meminda akta lompat parti untuk memperbaiki kelompangan yang terdapat dalam undang-undang berkenaan.

Anwar dilaporkan berkata, Pakatan Harapan (PH) pada 2022 pernah mengusulkan supaya pindaan dibuat kepada akta terbabit, namun ditolak oleh kerajaan ketika itu.

Pada 20 Jun lalu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta supaya enam kerusi Parlimen diwakili wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri dikosongkan.

Notis itu dikemukakan berdasarkan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan, iaitu seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli dewan dan kerusinya menjadi kosong apabila tidak lagi menjadi anggota parti politik.

Bagaimanapun, Johari dalam keputusannya menolak permohonan Bersatu bagi mengosongkan enam kerusi Parlimen berkenaan. – MalaysiaGazette