Antara sukarelawan yang terlibat dalam kerja-kerja membersihkan sungai dalam Majlis Program Ceriakan Sungai Tebrau di Bakar Batu, Johor Bahru yang tercemar teruk

JOHOR BAHRU – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengenal pasti 25 sungai di negara ini yang diklasifikasikan sebagai tercemar teruk dengan sembilan daripadanya di Johor.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sembilan sungai itu berada di daerah ini iaitu Sungai Danga, ⁠Sungai Buluh, Sungai Tukang Batu, Sungai Kempas, Sungai Segget, Sungai Pandan, Sungai Sebulung, ⁠Sungai Sengkuang dan Sungai Tampoi.

“Sungai tercemar inj berada dalam pengkelasan kualiti air sungai (IKA) kelas tiga dan empat yang berpunca daripada pelbagai aktiviti termasuk aktiviti perindustrian dan loji kumbahan.

“Sehubungan usaha-usaha untuk memelihara sungai kita perlu digerakkan secara agresif di peringkat akar umbi dan tidak bergantung terhadap tindakan dan modus operandi penguatkuasaan semata-mata.

“Keempat-empat anak Sungai Tebrau iaitu Sungai Pandan, Sungai Sebulung, Sungai Sengkuang dan Sungai Tampoi mencatatkan kualiti yang membimbangkan dengan faktor pencemaran daripada kumbahan selain daripada industri, sektor
komersial dan kerja tanah.

“Memang kita akui cabaran di Johor ini adalah untuk membersihkan sungai-sungai ini, di sinilah komuniti perlu main peranan masing-masing untuk bersama-sama menjaga kebersihan sungai kita,” katanya kepada pemberita selepas Program Ceriakan Sungai Tebrau, di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon.

Program itu mendapat penyertaan lebih 500 peserta yang terdiri daripada masyarakat setempat, pelajar sekolah dan persatuan berkaitan yang berusaha membersihkan Sungai Tebrau.

Akmal Nasrullah berharap, usaha itu dapat diteruskan kerana menggerakkan para sukarelawan untuk bergotong-royong membersihkan sungai memenuhi hasrat tema Sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat Kebangsaan 2024 yang akan
diadakan pada September nanti.

Menurut Ahli Parlimen Johor Bahru itu, kerajaan komited dalam memitigasi masalah itu termasuk dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Sungai yang melibatkan kerajaan negeri bagi menumpukan penyelarasan penguatkuasaan dan prosedur perundangan.

“Satu lagi usaha yang saya secara peribadi bersama-sama pasukan kementerian sedang teliti dan digerakkan adalah terhadap penambahbaikan sistem kumbahan di sekitar Johor Bahru.

“Jangan ingat pencemaran sungai ini disumbangkan oleh kilang-kilang dan komersial sahaja kerana tanpa kita sedar, aktiviti seharian kita juga menyumbang kepada pencemaran sungai sekiranya sistem kumbahan tidak ditambah baik dan akhirnya mengeluarkan efluen yang tidak dirawat dengan sempurna dan akhirnya mencemarkan sungai,” ujarnya. – MalaysiaGazette