Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof

KUALA LUMPUR – Seramai lapan lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam kematian seorang pekerja kilang lelaki warga asing ditahan di kawasan Kampung Pulau Meranti, Puchong dan Kampung Baru Sungai Buloh, Selangor pada malam Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, polis menerima laporan daripada Pegawai Perubatan Hospital Cyberjaya mengenai seorang lelaki warga asing berusia 30 tahun dihantar ke hospital itu dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 9.40 pagi pada hari yang sama.

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa telah mengalami pendarahan di bahagian kepala dan tangan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini sambil menambah suspek yang ditahan berumur antara 30 hingga 45 tahun.

Menurut Wan Kamarul Azran, mangsa dijumpai tercedera dalam kabin kediamannya yang terletak dalam kawasan kilang tersebut dan beliau meninggal dunia di hospital.

Tambah beliau, polis menemui sebatang kayu yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa dan motif kejadian dipercayai mabuk dan perselisihan faham.

Tambah beliau, kertas siasatan telah dibuka di Bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette