KUALA LUMPUR – Persatuan Teoh Beng Hock mempersoalkan kelebihan yang dimiliki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila beberapa pegawainya masih tidak dikenakan sebarang tindakan di sebalik kematian mendiang.
Jurucakapnya, Wong Yan Ke berkata, ia susulan kematian misteri Beng Hock masih tidak mendapat keadilan sedangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah disiasat dan dipenjarakan.
“Kita bukan tak tahu siapa suspek tersebut, kita bukan tak tahu siapa pegawai SPRM yang terlibat, kerana waktu itu, kerajaan Najib Razak telah menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
“Dalam laporan itu, kami dapat tahu sekurang-kurangnya ada tiga orang pegawai SPRM telah terlibat dan mengakibatkan kematian Beng Hock, tapi sampai sekarang mereka tidak ditangkap dan disiasat,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau bersama kira-kira 30 ahli keluarga dan peserta Beng Hock berjalan kaki dari Taman Medan, Petaling Jaya ke Jalan Klang Lama, di sini untuk menuntut keadilan yang tertangguh hampir 15 tahun lalu.
Sebelum ini, media melaporkan mendiang Beng Hock yang juga bekas pembantu EXCO Selangor, Ean Yong Hian Wah dipanggil SPRM sebagai saksi untuk membantu siasatan mengenai dana kawasan pilihan raya pada 15 Julai 2009.
Bagaimanapun, Beng Hock yang juga bekas wartawan Sin Chew Daily ditemui mati selepas mayatnya ditemui di atas bumbung tingkat lima di bangunan bersebelahan pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai 2009.
Yan Ke juga melahirkan rasa kesal apabila beberapa penjawat awam ini diberikan kenaikan pangkat dan gaji sedangkan mereka terkait dengan kes kematian Beng Hock.
“Ada yang dinaikkan pangkat, ada yang dinaikkan gaji pula.
“Kalau bekas Perdana Menteri kita Najib Razak telah ditangkap dan disiasat, kenapa tidak kepada pegawai SPRM terbabit,” katanya. – MalaysiaGazette