Akmal Nasrullah melontar bebola lumpur mikroorganisma efektif (EM) sebagai simbolik perasmian Majlis Program Ceriakan Sungai Tebrau di Bakar Batu, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Kelewatan projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau dan LRA Bukit Selambau di Kedah yang tidak dapat disiapkan dalam tahun ini adalah satu isu yang serius kerana membabitkan kepentingan dan keperluan rakyat negeri itu.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa kelewatan dua projek LRA itu bukan perkara yang serius tidak boleh diterima sama sekali.

Jelasnya, projek tersebut sepatutnya siap pada tahun lalu tetapi kerajaan terpaksa mengambil langkah intervensi.

“Apabila projek itu mengalami kelewatan, tindakan paling penting diambil adalah mempercepatkan kemajuan projek tersebut dan mempunyai pelan pemulihan agar penduduk Kedah tidak lagi berdepan masalah bekalan air.

“Jangkaan projek sepatutnya siap pada tahun lepas, kemudiannya kerajaan terima EOT (tambahan masa) bahawa siap tahun ini tetapi yang terkini hasil semakan dibuat dapat lagi satu EOT iaitu tambahan 292 hari yang jangkaannya akan siap pada tahun depan.

“Kalau itu bukan satu masalah, bagi saya ia tak betul. Laporan ketua audit telah pun menegur bahawa rizab margin air di Kedah bukan lagi sifar, malah dah jadi negatif, itu sebenarnya masalah.

“Jadi, kalau pandangan beliau itu tidak ada isu, bagi saya itu isu yang besar. Pihak kementerian kena tegur, siapa lagi akan bersuara bagi pihak rakyat Kedah yang berhadapan cabaran masalah bekalan air,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Program Ceriakan Sungai Tebrau, di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon.

Pada Khamis, Muhammad Sanusi membidas Akmal Nasrullah yang sengaja mempolitikkan isu tersebut dengan memberi gambaran kerajaan negeri tidak pandai menguruskan projek pembangunan itu.

Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, hasil tinjauan yang dilakukan di LRA Sungai Limau LRA Bukit Selambau pada Selasa lalu mendapati isu pelaksanaan projek itu tidak serius dan boleh ditangani.

LRA Sungai Limau dan LRA Bukit Selambau telah diberikan EOT untuk disiapkan sehingga Januari dan April tahun depan dengan LRA Sungai Limau mengalami kelewatan pojek tujuh peratus manakala LRA Bukit Selambau mendahului kemajuan kerja satu peratus.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, mengenai keperluan peruntukan tambahan, perkara itu perlu dinilai kerajaan Persekutuan selepas mengambil kira faktor berkaitan isu teknikal, isu skop kerja yang berubah atau ada penemuan baharu yang memerlukan kerja tambahan.

“Sebab itu, komitmen yang kita harapkan ialah supaya projek itu disiapkan mengikut jadual, jika ada permohonan nak NOC (notis perubahan), kita boleh ikut saluran dan kementerian akan buat keputusan.

“Saya tak ada masalah dengan beliau (Muhammad Sanusi), saya ada masalah rizab margin air di Kedah kosong peratus,” katanya. – MalaysiaGazette