Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Felda 2024 di MAEPS, Serdang. Foto SADIQ SANI, 14 JULAI 2024

SERDANG – Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pimpinan Felda tidak menjadikan agensi itu sebagai tempat berlakunya perpecahan, benci-membenci dan perseteruan.

Jelas Perdana Menteri, Felda seharusnya menjadi suri teladan yang baik dari segi tatakelola dengan memberikan contoh terbaik kepada semua agensi di bawah kerajaan.

“Apakah ada semangat, nilai yang sama. Apakah ada pengurusan yang cemerlang, apakah ada semangat untuk bawa kebaikan kerana yang berlaku, (yang) tinggal adalah amalan lapuk, sikap lapuk. (Perlu) tinggalkan kezaliman dan bawa perubahan.

“Hari ini saya pilih beri ucapan agak aneh. Bukan nak cerita (pasal) projek. Saya, menteri dan sampai kepada peneroka (Felda) serta keluarga mereka, (harus) ada usaha lebih untuk santuni anak-anak muda kerana apabila kita berbicara, ia (mesti melibatkan) wanita, masyarakat. Ia mesti melibatkan semua orang.

“Mudah-mudahan kita dapat bawa perubahan ini kepada semua. Saya juga yakin Insya-Allah kalau kita ada kefahaman betul atau kalau Felda berhasil betul-betul boleh jadi contoh terbaik. Bagaimana orang miskin diberi tanah dan diangkat martabat mereka. Ini martabat Felda, itu isyaratnya.

“Yang baik percayalah bukan saya mahupun (Ahmad) Zahid dan kawan-kawan dalam Kabinet akan bantu (buat perubahan) tetapi kesediaan mesti ada. Jangan jadikan Felda tempat pecah-belah, (cetus) kebencian dan perseteruan,” katanya ketika berucap di sambutan Hari Peneroka Felda 2024 peringkat kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil.

Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan pimpinan Felda agar menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas.

Jelasnya, sekiranya berlaku kecurangan dalam pentadbiran kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pimpinannya yang didapati bersalah.

“Saya kata Ketua Audit Negara, SPRM jalan kerja jangan kria siapa termasuk felda sy beri peringatan, salah sesiapa (tidak menjalankan tanggungjawab) jaga tindakan akan diambil,” katanya. – MalaysiaGazette