MELAKA – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sedang menyiasat aduan kehadiran dua ekor buaya di Sungai Melaka berhampiran Kampung Morten oleh penduduk kampung berkenaan, di sini, pagi tadi.
Pengarahnya Petra Sulai berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan yang kerap di lokasi berkenaan sebelum ini selepas menerima aduan kehadiran reptilia itu.
“Kami akan siasat mengenai aduan terbaharu ini malah sebelum ini pun memang anggota kita sentiasa melakukan pemantauan termasuk memasang perangkap di Sungai Malim, Kampung Gadong.
“Penduduk diminta berhati-hati dan tidak cuba mengambil tindakan sendiri di kawasan yang didakwa terdapat buaya berkenaan,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tular video berdurasi satu minit menunjukkan seekor buaya tembaga diangarkan sepanjang hampir tiga meter sedang berehat di bawah laluan pejalan kaki Sungai Melaka di Kampung Morten.
Malah penduduk mendakwa, ada ternampak dua buaya spesies tembaga itu sedang bergaduh di kawasan lubuknya sekali gus menimbulkan kebimbangan mereka di lokasi pelancongan itu.
Untuk rekod, Sungai Melaka sepanjang 4.5 kilometer dan Kampung Morten merupakan lokasi ikonik pelancongan Melaka apabila menjadi laluan bot pelancongan Melaka River Cruise (MRC).
MRC mencatatkan hampir 20,000 pelancong setiap hujung minggu yang turut tidak melepaskan peluang melihat nilai sejarah di kampung tradisional Melaka berusia lebih 104 tahun itu. – MalaysiaGazette