Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan jaminan akan mengadakan pertemuan dengan waris mendiang Teoh Beng Hock.

“Saya ambil maklum insiden yang berlaku di luar Parlimen hari ini melibatkan keluarga mendiang Teoh Beng Hock.

“Saya beri jaminan akan berjumpa dengan mereka dalam masa terdekat dan meneliti memorandum tuntutan,” katanya dalam aplikasi X, hari ini.

Awal pagi tadi, polis dan anggota sukarela Rela membuat rantaian manusia bagi kira-kira 100 meter sebelum pagar memasuki Parlimen bagi menghalang perarakan itu daripada menyerahkan memorandum mereka.

Persatuan Teoh Beng Hock Untuk Kemajuan Demokrasi (TBH-Ada) pada mulanya ingin menyerahkan memorandum di pagar mahkamah, bagaimanapun mereka diberitahu supaya mendapatkan kebenaran kerajaan terlebih dahulu.

Semalam, ahli keluarga mendiang Teoh Beng Hock dan ahli persatuan itu sanggup berjalan kaki sejauh 30 kilometer selama tiga hari dari Plaza Masalam, Shah Alam hingga Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur untuk menuntut keadilan.

Jurucakapnya, Wong Yan Ke berkata, kematian Beng Hock selepas disiasat di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menjadi tanda tanya dan esok merupakan ulang tahun pemergiannya yang ke-15 tahun.

Sebelum ini, media melaporkan mendiang Beng Hock yang juga bekas pembantu Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah dipanggil SPRM sebagai saksi untuk membantu siasatan mengenai dana kawasan pilihan raya pada 15 Julai 2009.

Bagaimanapun, Beng Hock yang juga bekas wartawan Sin Chew Daily ditemui mati selepas mayatnya ditemui di atas bumbung tingkat lima di bangunan bersebelahan pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast