Gambar: Facebook Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

KUALA LUMPUR- Wakil kutipan sumbangan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO)dan syarikat diharuskan menggunakan sebahagian duit derma untuk mempromosikan program tersebut, dengan syarat telah mendapat keizinan daripada penderma.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam kenyataan berkata, pihak yang mengumpul derma boleh menyatakan hasrat mereka untuk menggunakan peratusan tertentu daripada duit sumbangan kos promosi dan iklan secara jelas.

Jika wang telah dikumpulkan, wakil kutipan perlu mendapat keizinan daripada semua penderma terlebih dahulu sebelum menggunakan dana berkenaan untuk membayar kos promosi.

“Pada asasnya dalam bab wakalah, seseorang wakil tidak boleh melakukan sesuatu dengan duit yang diwakilkan kepadanya melainkan dengan izin daripada pewakil iaitu para penderma. Antara yang menyebutkan perkara ini ialah Imam al-Syirazi, kata beliau:

لا يملك الوكيل من التصرف إلا ما يقتضيه إذن الموكل من جهة النطق أو من جهة العرف؛ لأن تصرفه بالإذن فلا يملك إلا ما يقتضيه الإذن[1]

“Maksudnya: “Wakil tidak memiliki hak untuk melakukan sesuatu melainkan dengan keizinan orang yang mewakilkan sama ada secara lisan ataupun uruf (adat) kerana tindakan wakil perlu dengan izin. Oleh itu, dia tidak memiliki (hak untuk melakukan sesuatu) melainkan dengan izin.”

“Berdasarkan petikan di atas, jelas bahawa wakil hanya boleh menyalurkan duit kutipan derma tersebut mengikut apa yang diizinkan kepadanya oleh penderma. Segala penggunaan duit tersebut untuk tujuan yang lain tidak dibolehkan melainkan dengan meminta keizinan penderma. Keizinan penderma pula boleh diperoleh sama ada melalui lisan ataupun uruf,” kata kenyataan itu bagi menjawab persoalan berhubung hukum menggunakan sebahagian kutipan derma untuk tujuan promosi.

Perkara ini juga katanya, bertepatan dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke 137/2022 pada 9-10 Jun 2022.

Sehubungan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menasihatkan wakil yang mengutip sumbangan agar menggunakan duit kutipan tersebut dengan cermat dan tidak berlebihan untuk promosi supaya sumbangan tersebut dapat disampaikan secara maksimum kepada pihak yang betul-betul memerlukan.- MalaysiaGazette