Muhammad Zikry rayu bantuan bagi menampung kos ubat penyakit genetik neurofibromatosis jenis 1 (NF1).

BUKIT MERTAJAM –  Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun memerlukan dana RM195,000 bagi menampung kos ubat bagi mengelak tumor merebak akibat penyakit genetik neurofibromatosis jenis 1 (NF1).

Neurofibromatosis merupakan penyakit jarang ditemui yang menyebabkan bahagian kulit dan tulang menjadi tidak normal di samping ketumbuhan besar atau kecil di bahagian saraf neural yang boleh berlaku di otak, saraf tunjang dan urat saraf kecil mahupun besar.

Menurut Khamis Khalid Ahmad Fadzil, 48, anaknya, Muhammad Zikry dilahirkan normal namun kini kudung kaki kiri akibat neurofibromatosis.

Jelasnya, tanda penyakit itu dikesan semasa anak keduanya itu berusia lapan bulan apabila kaki kirinya semakin membesar akibat plexiform neurofibroma atau lebihan isi kulit.

“Dia kemudian menjalani pembedahan laparotomi untuk membuang plexiform neurofibroma di perutnya pada usia empat tahun dan diikuti pembedahan sendi pinggul pada umur lapan tahun untuk membuang plexiform neurofibroma di bahagian bawah kaki kirinya.

“Selama bertahun-tahun, dia mengalami keadaan seperti sindrom cauda equina yang menyebabkan dia mengalami pundi kencing neurogenik (tidak berfungsi) dan skoliosis atau tulang belakang bengkok lebih 70 darjah.

Kaki kirinya dipotong akibat neurofibromatosis.

“Keadaan Muhammad Zikry ketika ini tidak terkawal apabila tumor terus merosakkan belakang, pangkal paha dan skrotum sehingga menjejaskan keupayaannya untuk bergerak,” katanya yang berasal dari Labu, Negeri Sembilan.

Tambahnya, doktor mengesyorkan agar anaknya menggunakan ubat baharu bagi mengelak masalah sarafnya semakin teruk atau merebak namun harganya terlalu mahal.

“Pendapatan keluarga hanya bergantung kepada saya sebagai juruteknik kilang, manakala isteri pula suri rumah. Selain itu, kami turut mempunyai seorang anak perempuan berusia 20 tahun yang masih menuntut di sebuah kolej tempatan.

“Kekangan ini menyebabkan saya tidak mampu menampung kos ubat baharu yang disyorkan doktor sekali gus memohon bantuan daripada One Hope Charity & Welfare untuk membantu mengutip dana daripada orang awam,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya akan membantu mengumpul dana sebanyak RM195,000 bagi menampung kos ubat-ubatan Muhammad Zikry dalam usaha mengelak tumor daripada terus merebak.

Bantuan boleh disalurkan terus ke akaun Public Bank Berhad bernombor 3201428817 (One Hope Charity & Welfare).

Untuk pertanyaan maklumat lanjut, sila hubungi 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192, 018-911 4192 atau layari onehopecharity.org – MalaysiaGazette