MELAKA – Selepas lima hari bertarung nyawa akibat lemas dalam kebakaran yang mengorbankan nyawa dua anaknya Khamis lalu, Azliha Ngah Ariffin, 40, menghembuskan nafasnya yang terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka 12.50 tengah hari tadi.
Perkara itu disahkan kakak mangsa, Rohana, 43, yang berkata adiknya itu meninggal dunia di samping 10 adik beradik yang lain selepas tidak sedarkan diri sejak dimasukkan ke ICU Khamis lalu.
“Sejak itu, arwah memang langsung tidak sedarkan diri sebelum pagi tadi doktor memberitahu keadaan adik semakin merosot kerana kegagalan otak untuk berfungsi.
“Kami reda dengan ketentuan ini dan jenazah akan dibawa pulang ke kampung halaman untuk dikebumikan di Kampung Pengkalan Pegoh, Ipoh, Perak selepas urusan solat jenazah di sini,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka, di sini hari ini.
Khamis lalu, MalaysiaGazette melaporkan dua beradik perempuan maut manakala ibunya kritikal selepas terperangkap dalam asap tebal di bilik sewa didiami di tingkat tiga Plaza Mahkota Melaka, Banda Hilir di sini yang terbakar.
Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang itu, mangsa maut dikenali Nur Riaisha Zahra Abdullah, 2 kakaknya, Nuralia Karisa Abdullah, 12.
Sementara itu, adik mangsa, Faridah, 37, berkata, dia terkilan tidak dapat berjumpa dengan kakaknya itu selepas bercerai dan berpindah ke Melaka lapan tahun lalu.
“Memang agak terkilan kerana kakak terlalu sibuk bekerja sebagai pembantu pasar malam di Melaka sejak tinggal di bilik sewa itu setahun yang lalu.
“Sekitar 10 pagi hari kejadian, ada rakannya beritahu saya arwah tidak sabar untuk berpindah ke rumah baru tidak lama lagi, namun tidak sangka rupa-rupanya semua tiga beranak itu ‘berpindah’ selama-lamanya dari kami,” katanya sebak. – MalaysiaGazette
Dua beradik maut, ibu kritikal bangunan rumah kedai terbakar