Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

REMBAU – Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pengecualian kenaikan gred bagi warga pendidik yang mempunyai masalah disiplin dan cuai sepatutnya dijadikan sebagai motivasi.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia sepatutnya dipandang positif supaya para guru menumpukan perhatian dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan negara.

Bagaimanapun, beliau yakin hanya segelintir sahaja guru-guru yang terpalit dengan masalah disiplin.

Beliau memberi jaminan guru-guru mempunyai komitmen yang tinggi dan menumpukan perhatian terhadap pendidikan negara.

“Secara keseluruhan kita harus ambil kenyataan PM sebagai positif,  barangkali hanya sebahagian kecil sahaja yang cuai dan gagal menjalankan tanggungjawab keseluruhan. Kita jamin guru-guru kita terlatih, komited dan beri tumpuan seluruh jiwa raga mereka terhadap pendidikan,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Bangunan Projek Naik Taraf Sekolah Menengah Vokasional Dato’ Lela Maharaja kepada Kolej Vokasional Dato’ Lela Maharaja, di sini, hari ini.

Fadhlina yakin, agenda pendidikan negara berada di landasan yang tepat dengan pelan pendidikan.

“Kita sedang melangkah ke agenda yang penting khususnya kurikulum baharu 2027 kemudian akan berakhirnya Pelan Pendidikan 2025 dan kita sedang bina pelan pendidikan baharu,” tambah Fadhlina.

Pada Sabtu lalu, Anwar ketika menghadiri sambutan Jubli Emas Penubuhan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berkata, warga pendidik yang mempunyai masalah disiplin dan cuai dalam tugas perlu dikecualikan daripada menerima kenaikan gred secara automatik atau ‘time-based’.

Katanya, golongan itu tidak sewajarnya menerima manfaat berkenaan sungguh pun sistem kenaikan ‘time-based’ sudah diberi kepada warga pendidikan, khususnya oleh Kementerian Pendidikan (KPM) sejak beberapa tahun lalu.

Pada 1 Julai 2009 kerajaan memutuskan pelaksanaan kenaikan pangkat secara time-based bagi pegawai kumpulan pelaksana yang sudah berkhidmat 15 tahun dan lebih dalam skim perkhidmatan semasa secara Khas Untuk Penyandang (KUP).-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.