REMBAU – Mesej mengenai matlamat Kerajaan Madani untuk memastikan pelajar di kolej vokasional dan sekolah berkemahiran berjaya menjadi tenaga pakar dalam negara perlu disampaikan secara jelas kepada masyarakat.
Dalam masa yang sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, persepsi kolej vokasional merupakan pendidikan kelas kedua juga perlu diubah.
“Perubahan mentaliti kena ada, sebab inilah kita perlu sentiasa bercakap dengan anak-anak dan ibu bapa bahawa perubahan mentaliti konteks vokasional kena berubah.
“Sebab itu saya sentiasa bercakap dengan ibu bapa vokasional bukan aliran pendidikan kelas kedua. Tapi arus perdana. Ini yang perlu difahami masyarakat “ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Bangunan Projek Naik Taraf Sekolah Menengah Vokasional Dato’ Lela Maharaja kepada Kolej Vokasional Dato’ Lela Maharaja di sini hari ini.
Fadhlina berkata, para pelajar yang berada di sekolah dan kolej berkemahiran merupakan generasi yang berpotensi menjadi usahawan dan pakar dalam industri tertentu pada masa akan datang.
“Kita sidang membina potensi-potensi menjadi usahawan dan membina masa depan yang lebih baik dalam industri tertentu dalam negara,” jelasnya.
Sementara itu, Fadhlina berkata, Projek Naik Taraf Sekolah Menengah Vokasional Dato’ Lela Maharaja kepada Kolej Vokasional Dato’ Lela Maharaja melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM10.4 juta.
Ia merupakan bukti Kementerian Pendidikan (KPM) komited menambah baik infrastruktur dan kualiti pendidikan khususnya bidang pertanian dan selari dengan kemajuan teknologi pertanian.
Naik taraf bangunan dan fasiliti yang terlibat adalah Bengkel Kayu dan Rumah Orkid (Program Landskap); Tractor Implementation Shade (Program Teknologi Mekanisasi Agro); Pusat Asuhan Ikan (Program Akuakultur); Kandang Lembu Tenusu (Program Agroindustri Ternakan Ruminan) dan Mock Office (Program Pengurusan Perniagaan).
Sebagai rekod, sebanyak 23 buah sekolah menengah vokasional telah dinaik taraf kepada kolej vokasional, manakala 57 masih dalam proses.- MalaysiaGazette