Tertuduh, Nur Putra Assyarafaiin Zuhari, 22, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka, Ayer Keroh hari ini atas 25 pertuduhan melakukan pecah amanah hasil jualan sebuah restoran bernilai lebih RM80,000 sejak Mac lalu.

MELAKA – Penyelia sebuah restoran yong tau foo terkenal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka di Ayer Keroh hari ini atas 25 pertuduhan melakukan pecah amanah hasil jualan sebuah restoran bernilai lebih RM80,000 sejak Mac lalu.

Tertuduh, Nur Putra Assyarafaiin Zuhari, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman sebaik sahaja kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kesemua pertuduhan tertuduh sebagai penyelia premis berkenaan yang telah diamanahkan dengan harta iaitu hasil jualan sebanyak RM81,126.86 telah gagal menyerahkan wang tersebut kepada pihak syarikat.

Semua kesalahan itu dilakukan di kaunter premis Tokmer Enterprise Cawangan Jasin Bistari, dalam daerah Jasin antara 17 Mac 2024 hingga 19 Jun 2024.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sekurang-kurangnya satu tahun hingga 14 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom dan Nur Syazwani Marizan mencadangkan jaminan RM50,000 untuk kesemua 25 pertuduhan dengan seorang penjamin warga Malaysia.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jumlah jaminan yang rendah dengan alasan perlu menanggung ibu bapa selain mempunyai dua beradik yang lain.

Hakim Azaraorni kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM42,500 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan tarikh 19 Ogos ini untuk lantikan peguam dan sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast