Polis sedang mencari waris seorang wanita dipercayai warga Indonesia dikenali 'Ibu Yuni' berusia lingkungan 40-an yang ditemui meninggal dunia, 10 Julai lalu.

MELAKA – Polis sedang mencari waris seorang wanita dipercayai warga Indonesia dikenali ‘Ibu Yuni’ berusia lingkungan 40-an yang ditemui meninggal dunia, 10 Julai lalu.

Wanita berkulit sawo matang dan bertudung itu dijumpai orang awam dalam keadaan tertiarap tanpa sebarang pengenalan diri kira-kira pukul 8.10 pagi di Jalan Murni 2, Taman Malim Jaya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan pegawai penyiasat mendapati, tiada unsur-unsur jenayah di lokasi mangsa yang juga dipercayai warga Indonesia dikenali dengan panggilan ‘Ibu Yuni’.

“Keadaan fizikal si mati ketika ditemui adalah susuk badan sederhana, muka bulat, kulit sawo matang, bertudung hitam dan memakai baju T bewarna biru dan hijau selain seluar panjang gelap.

“Mayat masih ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka kerana kita sedang mengesan ahli keluarga atau waris
si mati berusia sekitar 40-an,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, orang ramai yang mengenalinya diminta  menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Shukor Mohamed di talian 017-2126716 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah 06-2841999.

“Pihak polis juga mengesan dan mengenalpasti butiran si mati melalui cap jari dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast