Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 15 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan memberi jaminan pindaan terhadap Akta Perubatan 1971 (Akta 50) akan memberi penambahbaikan pada kualiti dan kuantiti pakar perubatan pada masa hadapan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penambahbaikan itu akan  melibatkan program sarjana dan ‘parallel pathway’ yang mana latihan kepakaran baharu bagi kedua-dua program berkenaan perlu dinilai.

Beliau berkata, ini bagi mendapat kelulusan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sebelum program itu diiktiraf di mana penilaian berdasarkan standard yang diluluskan MMC bagi memastikan kualiti latihan kepakaran dapat dipelihara.

“Tujuan utama pindaan diharmonikan dan diatur ialah memastikan kuantiti pakar yang bakal dijana, bukan saja bagi sarjana perubatan tetapi juga laluan ‘parallel’.

“(Tujuan) kedua ialah kualiti. Ada dua jalur kepakaran, dan isu selalu ditanya ialah kualiti serta bagaimana bertemu dengan kuantiti yang mahu dijamin dengan pindaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai RUU Perubatan (Pindaan) 2024 serta RUU Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024 di Parlimen, di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Dzulkefly membentangkan RUU Perubatan (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat bertujuan memberi kuasa kepada MMC untuk mengiktiraf kelayakan serta latihan kepakaran bagi pendaftaran pengamal perubatan dan pakar.

Pindaan ke atas perenggan 4a(2)(h) itu adalah sebahagian daripada Fasal 4 RUU berkenaan yang secara umum bertujuan meminda Akta Perubatan 1971 bagi menambah baik peruntukan mengenai pendaftaran pengamal perubatan sebagai pakar serta bagi melaksanakan proses pengiktirafan kelulusan dan latihan kepakaran.

Dalam masa yang sama, Dzulkefly menafikan dakwaan bahawa KKM bersikap berat sebelah dengan tidak memberi penekanan kepada program sarjana perubatan di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan berbanding ‘parallel pathway’.

Dalam tempoh lima tahun dari 2019 hingga 2023, sebanyak RM365.4 juta atau 96 peratus dibelanjakan untuk pegawai perubatan KKM mengikuti latihan kepakaran peringkat sarjana di universiti awam, berbanding RM13 juta atau empat peratus untuk ‘parallel pathway’.

“Apapun persepsi (mendakwa) kita memberi kepentingan kepada program antarabangsa, ‘parallel pathway’, dari sudut kewangan pun jelas, ia jelas tidak begitu,” katanya. – MalaysiaGazette