Siti Rohani.

JOHOR BAHRU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor memohon orang ramai berwaspada dengan penipuan berkaitan tawaran pembekalan makanan siap dimasak di beberapa buah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) negeri ini.

Pengarah JBPM Johor, Siti Rohani Nadir berkata, modus operandi scammer berkenaan adalah dengan memberikan surat tawaran untuk membekalkan makanan siap dimasak bagi sesuatu majlis atau program di BBP.

“Pembekalan makanan itu dalam tempoh yang singkat serta secara kontrak selama setahun dengan suatu nilai tertentu.

“JBPM Johor telah menerima beberapa laporan daripada pengusaha makanan berkaitan penipuan tawaran pembekalan makanan bermasak di BBP negeri ini.

“Scammer tersebut juga turut memohon bantuan pembekal untuk memberi sejumlah wang tertentu bagi tujuan pembelian cenderahati (goodies),” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Katanya, pembayaran perlu dibuat kepada pihak ketiga yang juga merupakan rakan kepada scammer tersebut.

Namun setelah pembayaran dibuat katanya, scammer tersebut telah menyekat panggilan daripada pihak pembekal makanan berkaitan.

Justeru, Rohani menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak terpedaya dengan modus operandi tersebut.

Namun, katanya sekiranya ada menerima tawaran berkaitan kerja-kerja membekal makanan siap dimasak atau apa-apa tawaran kerja yang diragui melibatkan JBPM Johor, perlu menghubungi jabatan atau balai bomba berkaitan untuk pengesahan.

“Orang awam atau pembekal makanan yang telah menjadi mangsa kepada penipuan tersebut dinasihatkan untuk membuat laporan polis dengan segera bagi tindakan selanjutnya,” katanya. – MalaysiaGazette