KULIM –  Tempoh tahanan reman terhadap seorang pekebun yang ditahan bagi membantu siasatan kes dua kanak-kanak maut termakan makanan ringan didakwa dicampur racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar di sini, dilanjutkan dua hari lagi.

Perintah sambungan reman terhadap suspek berusia 33 tahun sehingga 18 Julai itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Kulim, Mirza Mohamad.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan, dua beradik, Muhammad Akil Syauqi, 3, dan Muhammad Luth Syauqi, 2, maut selepas termakan makanan ringan didakwa dicampur racun tikus dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar di sini, pada 7 Julai lalu.

Muhammad Akil meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik, Hospital Pulau Pinang pada Rabu lalu, diikuti adiknya dua hari kemudian. – MalaysiaGazette