Mohd Shamsor Mohd Zain (tengah) bercakap pada sidang media MAA berkenaan penjualan dan pengeluaran kenderaan baharu dari Januari hingga Jun 2024 ketika di MITEC, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyemak semula unjuran jualan kenderaan tahun ini kepada 765,000 unit berbanding 740,000 jangkaan awal.

Meskipun begitu, unjuran ini adalah 4.0 peratus lebih rendah berbanding kenderaan terjual pada tahun lalu sebanyak 799,731.

Presiden (MAA) Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, semakan ini dibuat disebabkan ekonomi domestik yang berdaya saing, selain keyakinan kerajaan yang mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar 4 hingga 5% tahun ini.

Malah, keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar semalaman kepada 3% turut membantu merangsang perbelanjaan domestik.

Menurutnya, TIV bagi kenderaan penumpang dijangka susut 3.0% kepada 696,150 unit manakala bagi kenderaan komersial pula jatuh kira-kira 14.5% to 68,850 unit.

Daripada jumlah ini, kenderaan penumpang merekodkan 356,859 unit dan kenderaan komersial 33,437 unit.

Pada asas tahun ke tahun kecuali Mac dan Jun, jumlah jualan kenderaan bulanan secara konsisten lebih tinggi pada separuh pertama 2024 berbanding bulan yang sama pada separuh pertama 2023.

Dalam pada itu, tambahnya, gabungan bahagian pasaran kedua-dua jenama nasional meningkat kepada 62 peratus atau 241,937 unit pada separuh pertama 2024 berbanding 60.3 peratus atau 220,702 unit pada tempoh sama tahun lalu.

Jenama kenderaan bukan nasional merekodkan jumlah jualan yang lebih tinggi sebanyak 148,360 unit atau pertumbuhan dua peratus berbanding 145,474 unit untuk tempoh sama tahun lalu. – MalaysiaGazette