Pemandu lori mengaku salah menghantar hantaran lucah kepada mendiang Esha baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori mengaku bersalah atas pertuduhan menghantar hantaran lucah berkait kes buli siber pempengaruh media sosial Rajeswary Appahu atau dikenali Esha, di aplikasi TikToK.

Ketika pertuduhan dibacakan, Sathiskumar Balakrishnan hanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan pertama iaitu menghantar hantaran lucah.

Namun tertuduh tidak mengaku bersalah untuk pertuduhan kedua iaitu  mendatangkan aib kepada ibu mendiang Esha di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan pertama, Sathiskumar didakwa melalui perkhidmatan aplikasi TikTok secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pertuduhan pertama itu didakwa mengikut seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) Akta yang sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah menggunakan perkataan dengan maksud hendak mengaibkan dan menganggu kesantunan ibu kepada Esha iaitu Puspa P Rajagopal berusia 56 tahun yang didakwa mengikut Seksyen 509 kanun keseksaan dan boleh dihukum dibawah seksyen sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan maksimum sampai lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM36,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Sebutan kes ditetapkan pada 16 Ogos depan memandangkan tertuduh telah memohon tempoh masa bagi mendapatkan khidmat guaman dalam kes tersebut.

Pada 5 Julai, Esha berusia 30 tahun itu ditemui meninggal dunia, sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari mengesahkan seramai 11 saksi termasuk ahli keluarga mangsa selesai dirakam percakapan bagi melengkapkan kertas siasatan polis dalam kes tersebut. -MalaysiaGazette