M. Kumar

JOHOR BAHRU – Polis menerima enam laporan berkenaan penipuan ‘scammer’ bagi penawaran pembekalan makanan bermasak di beberapa Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, menerusi laporan polis tersebut yang diterima dari 12 hingga 15 Julai lalu, jumlah kerugian mereka yang sudah ditipu keseluruhannya RM24,900.

“Menurut mangsa, mereka menerima panggilan telefon dari individu yang tidak dikenali menawarkan tender pembekalan makanan untuk majlis-majlis yang akan diadakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Johor.

“Mangsa kemudiannya diarahkan untuk membuat pembayaran dalam jumlah tertentu ke akaun bank yang diberikan sekiranya mereka mahu mendapatkan tender berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, mangsa yang percaya dengan tawaran tersebut seterusnya membuat pembayaran dan hanya menyedari ditipu setelah membuat semakan denngan JBPM dan disahkan tidak benar.

Pihaknya kata Kumar, sudah membuka kertas siasatan bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun selain denda dan sebatan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan sebarang tawaran yang diterima secara dalam talian dan melalui telefon.

Tambahnya, semakan boleh dilakukan terlebih dahulu dengan agensi atau jabatan berkaitan sebelum membuat sebarang pembayaran bagi mengelak diperdaya.

Semalam Pengarah JBPM Johor, Siti Rohani Nadir dalam satu kenyataan, meminta orang ramai berhati-hati dengan taktik terbaharu penipuan ‘scammer’ bagi penawaran pembekalan makanan bermasak di balai bomba.

Siti Rohani berkata, pihaknya telah menerima beberapa laporan daripada pengusaha makanan mengenai penipuan tawaran tersebut.-MalaysiaGazette