Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggangnya kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 50 Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi, hari ini

KOTA TINGGI – Seorang remaja maut selepas motosikal diboncengnya dilanggar sebuah kereta dari arah belakang semasa kerja-kerja membaiki jalan sedang dilakukan di Kilometer 50 Jalan Johor Bahru-Mersing di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, kemalangan pada pukul 4.15 pagi itu melibatkan sebuah kereta Proton Wira dan dua motosikal jenis K-Light 202 serta Yamaha Y15ZR yang semuanya datang dari arah yang sama.

“Kemalangan berlaku apabila mangsa bersama-sama rakannya yang kedua-duanya berusia 17 tahun menunggang dan membonceng K-LIGHT 202 tiba di lokasi kejadian sebelum diarahkan berhenti oleh seorang pekerja warga Bangladesh, 37, yang bekerja di situ.

“Mereka diarahkan berhenti bagi membolehkan kenderaan dari laluan bertentangan meneruskan perjalanan terlebih dahulu. Semasa dua remaja berkenaan menanti giliran untuk laluan mereka dibuka, datang Proton Wira dipandu lelaki tempatan berusia 29 tahun dari arah belakang dan melanggar motosikal mereka.

“Proton Wira tersebut turut melanggar Yamaha Y15ZR yang juga sedang berhenti ditunggang lelaki tempatan berusia 28 tahun. Akibat pelanggaran itu, remaja berkenaan yang membonceng K-Light 202 cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mayat dihantar ke unit foreksik ke Hospital Kota Tinggi (HKT) manakala semua mangsa lain yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan.

Menurut Hussin, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, jika disabit kesalahan hukuman penjara antara lima ke 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun bagi sabitan pertama. -MalaysiaGazette