Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) memaklumkan sijil cuti sakit di Klinik Kesihatan (KKM) hanya akan diberikan kepada pesakit bergejala teruk selepas disahkan keadaan kesihatannya oleh pegawai perubatan yang bertugas.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Mohtar Pungut Ahmad berkata, sijil cuti sakit tersebut tidak diberikan sewenang-wenangnya dan dikeluarkan kepada pesakit yang benar-benar layak sahaja.

Katanya, ini termasuk isu pemberian sijil cuti sakit dikeluarkan KKM Tampoi di sini yang tular ketika ini apabila dikatakan susah untuk mendapatkannya.

“Pemberian sijil cuti sakit adalah berdasarkan penilaian dan diagnosis yang dibuat oleh pegawai perubatan, setelah melakukan konsultasi sejarah pesakit, pemeriksaan klinikal dan penyiasatan lain yang dirasakan perlu.

“Tujuan pemberian dan jumlah hari sijil cuti sakit adalah untuk memperakui bahawa terdapat gejala-gejala yang menunjukkan pesakit sedang menghidapi penyakit serta tidak mampu meneruskan apa-apa urusan atau fungsinya pada hari tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu tular dalam Facebook seorang individu mendakwa KKM Tampoi mengeluarkan sijil cuti sakit kepada pesakit bergejala teruk sahaja.

Dr Mohtar berkata, jumlah hari yang ditetapkan dalam sijil cuti sakit adalah berdasarkan penilaian klinikal oleh pengamal perubatan terbabit.

Katanya, pihak JKNJ melalui Pejabat Kesihatan Johor Bahru sudah membuat siasatan pada 11 Julai lalu dan mendapati pemilik akaun Facebook itu membuat dakwaan tersebut adalah untuk bertanya pendapat rakan-rakan dalam media sosial berkenaan berhubung isu terbabit.

“Pemilik akaun Facebook itu mendakwa tidak berniat untuk menyebarkan maklumat palsu atau menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat,” ujar beliau.

Menurut Dr Mohtar, pihaknya mengalu-alukan maklum balas daripada orang ramai berhubung bagi tujuan peningkatan kesihatan di negeri ini.

“Pihak jabatan ingin mengesuorkan sebarang pandangan, aduan atau pertanyaan orang awam disalurkan menerusi saluran rasmi jabatan agar semua maklum balas tersebut dapat dijawab secara tuntas,” tambahnya. -MalaysiaGazette