Polis Melaka berjaya menumpaskan satu sindiket curi motosikal dianggotai enam kanak-kanak bawah umur yang aktif mencuri motosikal di negeri ini sejak setahun lalu diketuai pelajar sekolah digelar 'Botak' (kiri) dalam Op Lejang, sejak dua minggu lalu.

MELAKA – Polis Melaka berjaya menumpaskan sindiket curi motosikal dianggotai enam kanak-kanak bawah umur yang aktif di negeri ini sejak setahun lalu diketuai pelajar sekolah digelar ‘Botak’ dalam Op Lejang, sejak dua minggu lalu.

Kesemua mereka ditahan berusia antara 13 hingga 17 tahun termasuk ketuanya pelajar Tingkatan 1 sebuah sekolah di daerah Melaka Tengah dan seorang lagi, 17 tahun yang masih bersekolah di Masjid Tanah dalam tiga serbuan berasingan pada 4, 6 dan 7 Julai lalu.

Timbalan Ketua Polis Melaka Senior Asisten Komisioner Md Nazri Nawawi berkata, serbuan pertama dibuat Cawangan D4 Risikan Jenayah, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah kira-kira 1 petang 4 Julai.

Menurutnya, ia selepas polis menerima aduan kes kehilangan sebuah motosikal pengadu jenis Yamaha Y15 di rumah pengadu di Kampung Padang Temu sehari sebelumnya.

“Bertindak hasil risikan, pasukan polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Semabok, Jambatan Duyong sebelum menangkap tiga kanak-kanak berusia 13, 14 dan 15 tahun berhampiran dua motosikal jenis Yamaha 15ZR dan Yamaha 135 LC tanpa nombor pendaftaran.

“Selepas disiasat, ketiga-tiga suspek termasuk ketuanya dikenali Botak berusia 13 tahun yang masih bersekolah kemudian menunjukkan tiga lagi kedudukan motosikal yang dilaporkan hilang sebelum kini dan sebuah motosikal lagi bernombor plat JWG7266.

“Kesemua suspek mengaku terlibat dengan kes disiasat selain terdapat dua lagi kanak-kanak yang masih bebas dikenali Kimi dan Syawal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya polis kemudian melakukan serbuan kedua pada kira-kira pukul 12.20 tengah malam 6 Julai di tepi jalan di Jalan Sungai Badau dan menahan suspek berusia 15 tahun dikenali Syawal yang sudah tidak bersekolah dan mengaku terlibat dalam dua kes curi motosikal.

SAC Md Nazri Nawawi

Md Nazri berkata, serbuan ketiga tepi jalan Taman Paya Rumput, Masjid Tanah kemudian membawa kepada penahanan dua lagi suspek berusia 16 tahun juga tidak bersekolah dan seorang lagi berumur 17 tahun, pelajar Tingkatan 5 sebuah sekolah di Masjid Tanah.

“Kedua-dua suspek bagaimanapun mengaku tidak terlibat dalam kecurian sebuah motosikal jenis Modenas Kriss sebaliknya memberi alasan menerimanya daripada adik rakannya yang terlibat dalam kes curi motosikal.

“Semakan mendapati modus operandi sindiket ini adalah menyasarkan motosikal yang diletakkan di luar rumah tidak berpagar sebelum ia digunakan sendiri oleh suspek dan rakan-rakannya,” jelasnya lagi.

Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod lampau kesalahan jenayah dan saringan air kencing juga mendapati mereka bebas penyalahgunaan dadah.

“Susulan tumpasnya sindiket ini, Polis Melaka berjaya menyelesaikan enam kes kecurian motosikal sekitar Melaka dan kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast