Mohd Shamsor Mohd Zain bercakap pada sidang media MAA berkenaan penjualan dan pengeluaran kenderaan baharu dari Januari hingga Jun 2024 ketika di MITEC, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan tiada impak besar terhadap penjualan kereta dalam negara sekiranya kerajaan melaksanakan pembelian tanpa pembiayaan penuh daripada institusi-institusi kewangan.

Presidennya, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, kebanyakan bank dalam negara menawarkan pelbagai pakej yang bersesuaian dengan kemampuan pembeli kereta.

“Saya fikir secara asasnya Bank Negara Malaysia (BNM) akan menetapkan suatu perkara (seperti ini) untuk memastikan pengguna bertanggungjawab dan mampu membayar pembelian sewa beli seperti kenderaan.

“Ada bank yang menetapkan jumlah wang pendahuluan yang minimum, kalau bagi penjawat awam bank tertentu memang berikan pinjaman penuh.

“Jadi bagi saya, pelaksanaan ini dijangka positif,  saya pasti tidak memberi impak kepada keseluruhan senario,” katanya ketika sidang media di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Baru-baru ini timbul spekulasi, tidak ada lagi skim pinjaman penuh untuk beli kereta, bermakna setiap pembeli kereta yang mahu membeli kereta perlu membayar wang pendahuluan.

Wang pendahuluan atau deposit itu sekurang kurangnya 10% daripada jumlah keseluruhan pinjaman.

Langkah ini bagi mengatasi masalah penjual kereta yang tidak telus dalam penetapan harga kerana ada yang menaikkan harga ketika menghantar permohonan pinjaman daripada bank.

Namun, sehingga kini tiada kenyataan rasmi daripada kerajaan mahupun BNM.

Sementara itu, ditanya tentang cadangan untuk kerajaan meneliti semula subsidi petrol RON95, Mohd Shamsor enggan mengulas lanjut.

Ia kerana, perkara itu belum lagi dimuktamadkan oleh kerajaan.

“Jadi saya tidak boleh ulas lanjut tetapi saya yakin kita semua ada strategi masing-masing untuk adaptasi dengan perubahan itu kelak,” tambahnya.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi Rafazi Ramli berkata, kerajaan masih meneliti dan menilai semula subsidi serta bantuan diberikan kepada rakyat termasuk petrol RON95.

Jelasnya, cadangan tersebut akan diperincikan dari semua aspek supaya inisiatif itu dapat berjalan lancar dan meningkatkan keberkesanan pengagihan bantuan kepada rakyat.-MalaysiaGazette