PEKAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kini meneroka bidang industri nanas melalui kerjasama dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, pihaknya komited dan berharap dapat membantu LPNM dengan kepakaran dari kalangan penyelidik UMPSA menerusi gandingan itu.
Jelasnya, sehingga kini seramai 22 orang penyelidik terlibat dengan penyelidikan berkaitan dengan nanas dan memperoleh dana penyelidikan sama ada diperingkat universiti, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atau industri sejak tahun 2015.
”Kerjasama ini bakal memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak dan universiti awam di bawah rangkaian universiti teknikal Malaysia atau MTUN.
”UMPSA sentiasa komited untuk membina kerjasama bermakna bersama pihak agensi dalam usaha untuk melahirkan penyelidik dan graduan yang kompeten, kalis cabaran dan menepati kehendak industri pada masa kini,” katanya menerusi kenyataan.
Ujarnya, kerjasama kedua-dua pihak ini mula terjalin melalui projek Geran Program Pemindahan Ilmu di bawah program pendanaan Kementerian Pendidikan Tinggi pada tahun 2017.
Kolaborasi tersebut berkenaan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di ladang nanas oleh sekumpulan penyelidik Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang kini berada di Fakulti Sains & Teknologi Industri.
Malahan kesinambungan daripada itu, beberapa penyelidik UMPSA telah berkerjasama dengan pihak LPNM Negeri Pahang dalam pelbagai kerjasama inovasi dan penyelidikan berkaitan dengan sisa nanas dan teknologi penanaman nanas.
”Antaranya seperti inovasi cendawan nanas oleh Profesor Madya Dr Aizi Nor Mazila Ramli, baja organik prebiotik Prepecto oleh Dr Noormazlinah Ahmad dan dron pembajaan oleh Ts Joharial Johari, daripada Pusat TVET Termaju.
”Selain itu, beberapa penyelidik lain juga turut terlibat membantu inisiatif LPNM dalam projek ‘Pineapple Night Farming’ dengan penggunaan kuasa solar dan teknologi Internet of Things (IoT),” tambahnya.
Pengiktirafan kerjasama tersebut dimeterai melalaui Memorandum Perserfahaman (MoU) hari ini berkaitan penyelidikan, pembangunan dan pemerkasaan teknologi dalam industri nanas di Malaysia pada 11 Julai lalu. – MalaysiaGazette