Ahli keluarga dipercayai waris kepada Nur Farah Kartini Abdullah tiba untuk pengecaman mangsa di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh. Foto SYADILA AMARI, 16 JULAI 2024.

SUNGAI BULOH – Pihak pengurusan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sedia menghulurkan bantuan kepada ahli keluarga Nur Farah Kartini Abdullah, 25,
bagi menanggung kos pengurusan jenazah ke Miri, Sarawak.

Perkara itu dimaklumkan oleh wakil pihak pengurusan UPSI yang hadir ke Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh di sini pada jam 12.10 tengahari hari tadi.

“Setakat ini, kami tidak dapat memberi apa-apa maklumat kerana menghormati pihak keluarga. Segala maklumat hanya akan diberikan oleh keluarga dan pihak polis.

“Bagaimanapun, pihak universiti akan membantu keluarga Nur Farah Kartini bagi memudahkan pengurusan jenazah,” katanya.

Namun, setakat ini, UPSI  masih menunggu keputusan pihak keluarga Allahyarham sama ada jenazah akan dikebumi di Semenanjung atau Miri.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan seorang wanita hilang  selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di Taman Universiti, Tanjung Malim Perak, 10 Julai lalu.

Kali terakhir mangsa dilihat memakai baju korporat muslimah warna biru jeans, bertudung dan berseluar hitam.

Mayat wanita ini kemudian ditemui di sebuah ladang kelapa sawit, di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang semalam.

Seorang penjawat awam ditahan polis susulan penemuan mayat  Nur Farah Kartini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek lelaki berusia 26 tahun itu ditahan bagi siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette