Keadaan motosikal yang terpelosok di bawah lori di Jalan Bukit Dugang -Desa Putra, Sepang pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Dua penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah lori dalam nahas tujuh kenderaan di Jalan Bukit Dugang -Desa Putra, Sepang, Selangor hari ini.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamad Firdaus Yahaya, 31, merupakan seorang akauntan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) manakala identiti seorang lagi tidak didedahkan.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian berlaku sekitar jam 9.10 pagi tadi apabila lori berkenaan merempuh empat kereta dan dua motosikal sebelum jatuh ke dalam longkang.

“Siasatan awal mendapati, pemandu lori berusia 40 tahun dipercayai mengalami serangan jantung menyebabkan kenderaan dipandunya hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Akibat kejadian itu, lori yang dipandu dari arah Putrajaya menghala Jenderam telah menyebabkan seorang penunggang motosikal maut serta-merta di lokasi kejadian.

“Manakala seorang lagi penunggang motosikal disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pemandu lori itu pula mengalami cedera parah dan kini masih dirawat di zon merah Hospital Putrajaya.

Susulan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette