Ayam tandoori. - Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) masih menunggu laporan sampel ayam tandoori yang dipercayai menjadi punca keracunan makanan di kantin Sekolah Menengah Teknik Tunku Abdul Rahman Putra di Jelutong di sini, pada Isnin lalu.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, seramai 28 pelajar dikesan mengalami gejala tersebut pada Isnin lalu dan masing-masing dibenarkan pulang hari yang sama selepas menerima rawatan di hospital.

“Hasil semakan kita mendapati kesemua pelajar yang terlibat dipercayai makan makanan di kantin sekolah pada Jumaat lalu dan mereka dikesan mengalami keracunan pada Isnin lepas.

Daniel Gooi.

“Buat masa ini, JKNPP juga sudah mengambil langkah susulan dengan memeriksa premis terbabit.

“Kita juga menunggu keputusan laporan daripada sampel makanan yang diambil untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, Daniel menasihatkan semua pengendali makanan agar sentiasa berwaspada dalam menyediakan makanan.

Terdahulu, tular dakwaan ratusan pelajar SM Teknik Tunku Abdul Rahman Putra mengalami keracunan makanan. – MalaysiaGazette