Mohd Fared (tengah) menyaksikan penyerahan replila cek daripada Ketua Pengurusan Syariah Permodalan Nasional Berhad, Dr Ahmad Basri Ibrahim kepada Nasri selepas merasmikan Pusat Kemahiran Jahitan MAINJ di Bukit Dahlia, Pasir Gudang, hari ini

PASIR GUDANG – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengesahkan menerima laporan polis berkaitan ajaran sesat Millah Abraham di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khaled berkata, pihaknya turut mendapat taklimat daripada cawangan khas Bukit Aman berkenaan perkara berkenaan.

“Kerajaan negeri menerusi agensi agamanya sentiasa peka dan tidak pernah leka mengenai cubaan penyebaran ajaran sesat di negeri ini.

“Kita sudah tahu pergerakan mereka dan kita juga ambil maklum mereka cuba memasuki negeri ini, tetapi yakinlah kepada kepimpinan di bawah portfolio agama ini di negeri ini dengan seluruh kekuatan JAINJ.

“Kita akan membasmi ajaran sesat ini yang cuba menyelewengkan, kita akan pastikan mereka tidak akan bertapak di Johor,” katanya.

Mohd Fared berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Kemahiran Menjahit Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di Taman Bukit Dahlia di sini hari ini.

Turut hadi Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Nasri Md Ali dan Penasihat MAINJ, Datuk Nooh Gadut.

Mohd Fared berkata, pergerakan pengikut Millah Abraham ini sudah dalam pemantauan dan JAINJ akan pastikannya dapat dipatahkan dan tidak berjaya menyebarkan ajaran sesat itu.

Beliau berkata, pihaknya tidak bimbang dengan penyebaran ajaran berkenaan secara berdepan kerana boleh dipatahkan.

Namun apa yang dibimbangkan ialah penyebaran secara alam maya menerusi media sosial.

“Ini yang perlu kita kekang dan kesedaran orang awam adalah lebih penting. Kalau kerajaan halang pun, bagilah taklimat macam mana sekali pun, tetapi tuan-tuan dengar menerusi Youtube dan TikTok, itupun kurang baik jugak.

“Nasihat saya benda yang pelik-pelik ini kita tinggalkan, tidak ada benda yang senang tak ada Tuhan kata tak payah sembahyang, pakai niat sahaja, bohong semuanya,” katanya.

Rabu lalu, tiga beranak dipercayai pengikut ajaran sesat Millah Abraham ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dalam serbuan di dua buah rumah berasingan di Sungai Kelamah, Gemas dan Palong 3, Jempol, Negeri Sembilan.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah menyatakan hasil siasatan awal mendapati, mereka juga dipercayai cuba menyebarkan ajaran terbabit kepada ahli keluarga dan masyarakat di negeri ini.

Ajaran itu difatwakan haram pada 2019 oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan antara fahaman salah ajaran sesat ini ialah ahlinya percaya sembelihan dibuat bukan ahli tidak sah selain mempercayai kewujudan nabi baharu dan ada syahadah yang berbeza.

Mereka juga cuba mengabungkan tiga agama iaitu Yahudi, Nasrani dan Islam, selain menghuraikan ajaran al-Quran berdasarkan fahaman mereka tanpa berdasarkan kitab tafsir. – MalaysiaGazette