Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh

JOHOR BAHRU – Hasrat seorang wanita untuk bekerja sambilan berkubur malah kerugian RM105,650 selepas diperdaya sindiket yang menawarkan pekerjaan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, mangsa yang berusia 41 tahun membuat aduan diperdaya scammer tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara semalam.

“Mangsa memaklumkan ada menerima satu pautan WhatsApp daripada Lux Legacy yang menawarkan peluang pekerjaan atas talian pada 10 Julai lalu.

“Wanita tersebut dijanjikan komisen bagi setiap tugasan yang disiapkan. Tawaran tersebut menjanjikan pulangan modal sebanyak 10 hingga 15 peratus daripada modal yang dilaburkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa yang tertarik dengan komisen dijanjikan serta tugasan mudah yang ditawarkan telah mendaftarkan diri dan melakukan 10 transaksi ke dalam lima akaun berbeza bermula 11 hingga 13 Julai lalu.

Menurut Balveer Singh, secara keseluruhan mangsa melaburkan RM105,650 sebagai modal menerusi semua transaksi berkenaan.

Mangsa, ujarnya, menyedari ditipu apabila mendapati laman web syarikat yang menawarkan pekerjaan tersebut dan segala perbualan sebelum ini sudah disekat.

Beliau memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun san boleh disabat atau denda.

Siasatan juga akan menjurus sama ada mangsa terbabit dengan keldai akaun dan tindakan akan diambil terhadap wanita tersebut jika terlibat.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya sebarang tawaran pelaburan atau pekerjaan atas talian yang menjanjikan kaedah mudah serta komisen tinggi.

“Gunakan perkhidmatan atas talian yang disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) seperti Semakmule, CCID Scam Response Centre menerusi talian 03-26101559 atau 03-26101599 atau Facebook BSJK serta Pusat Response Scam Kebangsaan (NSRC) talian 997,” katanya. – MalaysiaGazette