MELAKA – Padah menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebanyak RM150 sebulan, seorang lelaki didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Melaka, di sini, hari ini.
Hakim Azaraorni Abd. Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, B.R Veraiah, 42, yang mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah mengambil kerja Machakkalai Chinnakkannu yang bukan warganegara atau tidak memiliki suatu pas yang sah.
Kesalahan itu dilakukan di ladang sawit Lot 6689 Jalan Jasin, Felda Kemendor dalam daerah Jasin kira-kira pukul 9.45 malam 23 Mei lalu.
Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 sehingga RM50,000 atau dipenjara maksimum 12 bulan bagi setiap seorang yang diambil bekerja di bawah Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah mengambil pengadu yang merupakan warganegara India bekerja sebagai pembantu menguruskan Ladang Sawit Seri Kemendor dan tinggal di rumah kongsi dalam ladang berkenaan.
Pengadu menerima gaji sebanyak RM150 sebulan dan telah menerima RM750 sepanjang lima bulan bekerja dengan tertuduh tanpa diberikan sebarang slip gaji oleh tertuduh.
Tertuduh juga telah membantu pengadu mengirimkan wang sebanyak kepada isterinya di India sebanyak RM300 setiap bulan.
Pada 23 Mei lalu, berlaku perselisihan faham antara pengadu dan tertuduh membuatkan pengadu keluar dari ladang sawit berkenaan sebelum ditemui seorang lelaki India yang membawanya ke Balai Polis Jasin untuk membuat laporan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Tertuduh dalam rayuannya bagaiamanapun memohon hukuman ringan kerana mengidap sakit jantung selain isteri yang tidak bekerja.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Azaraorni menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau enam bulan jika gagal bayar.
Tertuduh membayar denda berkenaan. – MelaysiaGazette