Gambar yang dikongsi oleh Tunku Ismail di Twitter

KUALA LUMPUR – Bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon dilaporkan telah menjelaskan maksud ‘dangerous’ kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dalam pertemuan malam tadi.

Menurut portal Flash Sukan, Pan-gon menjelaskan pemilihan perkataan yang kurang tepat digunakan kerana penguasaan Bahasa Inggerisnya yang kurang bagus.

Maksud sebenar beliau adalah mengenai perkara berkaitan taktikal dan pembangunan pasukan yang mungkin boleh digunakan lawan sebagai kelebihan jika ianya didedahkan kepada umum.

“Ianya lebih kepada perkara berkaitan taktikal dan pembangunan pasukan yang mungkin boleh digunakan lawan sebagai kelebihan jika ianya didedahkan kepada umum. Atas sebab itu saya rasakan ianya tidak sesuai dan bukan bermaksud bahaya.

“Saya tidak pernah merasa tidak selamat di Malaysia dan mungkin kerana penguasaan bahasa Inggeris saya yang kurang baik menyebabkan salah faham ini terjadi,” jelasnya.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi turut hadir dalam pertemuan yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara.

Sesi yang berlangsung secara harmoni itu juga turut dihadiri beberapa wakil media yang menurut Pan-gon banyak menyokong dirinya ketika menyandang jawatan ketua jurulatih dan dia berterima kasih kepada semua pihak.

Terdahulu, Pan Gon menegaskan beliau tidak boleh berkongsi butiran terperinci mengenai punca mengambil keputusan drastik untuk meletakkan jawatan.

Tegasnya, perkara itu dianggap ‘bahaya’ dan ia hanya diketahui oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Butiran lanjut mengenai keputusan ini tidak boleh saya kongsikan di sini. Sangat bahaya. Datuk Hamidin tahu semuanya tetapi tidak perlu tanya beliau lagi.

“Tak perlu tanya soalan itu di sini. Semua sudah selesai,” katanya pada sidang media khas.

Sementara itu Tunku Ismail dalam ciapannya berkata, mengucapkan selamat Berjaya kepada Pan-gon dalam pertemuan tersebut.

Good luck and all the best Kim Pan-gon. Had a good football discussion (Semoga berjaya dan selamat sejahtera Kim Pan-gon. Mengadakan perbincangan baik mengenai bola sepak),” kata Tunku Ismail di Twitter.

Pertemuan itu berlangsung selepas beberapa jam Tunku Mahkota Johor (TMJ) mahu Pan-gon berterus-terang mengenai punca utama beliau meninggalkan skuad bola sepak kebangsaan.

Tegasnya, lelaki berasal dari Korea Selatan itu sepatutnya menjawab soalan wartawan secara khusus dan bukannya membuat kenyataan umum seperti “bahaya,” yang mengundang pelbagai persepsi.-MalaysiaGazette