Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berucap ketika hadir ke Apresiasi Pelajar Cemerlang Program Tuisyen Rakyat RISDA Tahun 2023 di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 17 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) digesa untuk meneroka program baharu kepada pekebun-pekebun kecil, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah baharu perlu diambil RISDA  bagi membawa pembaharuan daripada terus bergantung kepada sektor getah semata-mata.

“Kita menghadapi saingan dengan getah sintetik, maka ini cabaran paling getir yang dihadapi oleh kita sehingga kerajaan menaikkan harga lantai getah dan kenaikan ini belum dapat menyelesaikan sepenuhnya masalah yang dihadapi oleh pekebun kecil.

“Dengan kepimpinan baharu RISDA, saya mengharapkan RISDA mesti berubah dan melakukan ‘game changes’ supaya pekebun kecil mendapat manfaat secara langsung dari perubahan ini,” katanya dalam ucapan sempena majlis Aprisiasi Pelajar Cemerlang Program Tuisyen Rakyat Risda tahun 2023, di sini, hari ini.

Hadir sama adalah Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang baharu, Datuk Mohd Khair Razman Mohamed.

Gesaan itu, kata Ahmad Zahid, perlu memandang RISDA akan memasuki fasa kedua penubuhan yang sebelum ini memfokuskan kepada sektor getah.

Justeru itu, Ahmad Zahid mengarahkan agar Mohd Khair Razman mengadakan perbincangan dengan barisan kepimpinan RISDA hala tuju perubahan baharu yang akan direncanakan kepada badan tersebut.

“Kita mesti bekerjasama dengan kementerian lain antaranya Kementei Peladangan dan Komoditi, dari segi pengeluaran produk secara hiliran dimana kebergantungan kita banyak kepada penjualan bahan yang belum diproses.

“Getah umpamanya yang belum diproses kita terpaksa mengimport lebih RM6 bilion daripada negara jiran sedangkan kita adalah pengeluar getah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata KKDW telah memperuntukkan sejumlah RM4.16 juta kepada Risda untuk melaksanakan program Program Tuisyen Rakyat RISDA tahun lalu.

Jelas Ahmad Zahid, ia dapat memberi manfaat kepada 3,000 orang pelajar melibatkan 200 pusat tuisyen di seluruh negara dengan komitmen daripada 1,000 orang guru.

“Saya juga mengesorkan agar universiti tempatan ketika cuti semester yang panjang saya mahu pelajar-pelajar ini dibawa masuk ke kampus bagi merasai suasana disana lebih awal sebelum mereka menduduki peperiksaan.

“Ini bertujuan untuk memberi motivasi kepada pelajar-pelajar ini dan bawa ibu bapa di hari terakhir agar ibubapa turut terpanggil bagi merasai kehidupan di kampus,” katanya.

Untuk rekod, seramai 640 pelajar yang mengikuti Program Tuisyen Rakyat di bawah KKDW melalui Risda telah mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023.

Tuisyen Rakyat RISDA bagi peperiksaan SPM Tahun 2023 majoritinya telah mencapai keputusan 5A ke atas, 2 orang pelajar mencatat keputusan cemerlang 12A, 19 orang menerima 11A dan 17 orang menerima 10A. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast