MELAKA – “Saya janji sumpah sanggup mati disambar petir takkan buat perkara kasar lagi kepada isteri saya puan hakim. Saya sanggup bunuh diri kalau dia tiada dalam hidup saya,”.
Itu rayuan tertuduh, Mohd Haniff Zainuddin, 48, yang dijatuhi hukuman penjara dua minggu dan denda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Melaka di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya, Jumaat lalu.
Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan tertuduh yang merupakan polis bantuan sebuah syarikat di Sungai Udang.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera kepada isterinya, Nooryati Mohd Ghani, 45 di sebuah rumah beralamat di Taman Paya Rumput Indah, dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira pukul 7.30 malam 12 Julai lalu.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.
Mengikut fakta kes semasa pengadu yang juga isterinya berada di rumah telah berlaku perselisihan faham antara kedua-duanya kerana tertuduh mempertikaikan penggunaan duit gaji pengadu yang bekerja sebagai kerani.
Kejadian itu menyebabkan tertuduh menumbuk bahagian muka pengadu sehingga terpaksa menerima rawatan di Bahagian Kecemasan Hospital Melaka.
Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar memohon hukuman lebih berat mengambil kira hubungai suami isteri, fakta kes dan kecederaan dialami isterinya selain keterangan saksi menunjukkan ia bukanlah kejadian pertama tertuduh mengasari isterinya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman yang ringan kerana sudah insaf dan berjanji tidak akan mengasari isterinya lagi berpunca daripada sikap cemburunya selain anaknya berusia 27 tahun yang bakal melangsungkan perkahwinan.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Khairunnisak menjatuhkan hukuman penjara dua minggu dari tarikh ditangkap 13 Julai lalu dan denda RM2,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette