GEORGE TOWN – Sebanyak 1,202 notis ketidapatuhan pengasingan sisa dikeluarkan Pulau Pinang sejak penguatkuasaan semula dasar tersebut bermula 1 Julai lalu.
Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, notis itu dikeluarkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam tempoh 17 hari pelaksanaan semula dasar tersebut.
Bagaimanapun, jelas beliau, tiada kompaun dikeluarkan setakat ini memandangkan pihaknya lebih kepada mendidik penduduk negeri ini untuk mematuhi penguatkuasaan itu.
“Sekurang-kurangnya tiga notis ketidakpatuhan dikeluarkan kepada individu terbabit barulah kita beri notis saman.
“Kita harap tidak buka saman, kalau tiada saman ertinya penduduk dapat memberi kerjasama berhubung penguatkuasaan semula dasar ini” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Jason berkata, penguatkuasaan semula dasar itu akan diperluaskan kepada premis hotel dan industri.
“Operasi penguatkuasaan semula dasar pengasingan sisa bukan sekadar terhad kepada premis jenis kediaman dan komersil.
“Kita akan laksanakannya secara rawak terhadap premis industri dan hotel,” katanya.
Dasar pengasingan sisa telah mula diperkenalkan pada 1 Jun 2016 dan sepatutnya dikuatkuasakan di seluruh Pulau Pinang pada 1 Jun 2017 namun pelaksanaannya tergendala akibat pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette