HULU SELANGOR – Telefon pintar jenis iPhone dipercayai milik Nur Farhana Kartini Abdullah ditemui anggota unit sub akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan parit ladang kelapa sawit di Kg Sri Kledang, Hulu Bernam jam 12.21 tengah hari tadi.
Bahan bukti itu ditemui selepas hampir sejam pencarian dilakukan oleh tiga anggota berkenaan di dasar parit yang sebelum ini ditemui mayat Nur Farhana Kartini, Isnin lalu.
Terdahulu, suspek pembunuhan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dibawa ke lokasi kejadian kira-kira jam 11 pagi tadi.
Suspek yang juga anggota berpangkat lans koperal di Balai Polis Slim River, Perak dibawa ke lokasi kejadian untuk membuat pengesahan beberapa barang milik mangsa termasuk telefon pintar.
Sebelum itu,Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, manakala Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula jam 9.55 pagi tadi.
Proses mengesan bahan bukti yang memasuki hari kedua itu antara lain turut menggunakan alat pengesan logam dan pam air.
Semalam, media melaporkan PDRM akan menggerakkan unit skuba serta Unit Anjing Pengesan (K9) ke lokasi kejadian bagi mengesan bahan bukti.
Isnin lalu, media melaporkan suspek ditahan susulan penemuan mayat mangsa di ladang sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pada jam 6 petang.
Suspek ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan ditemukan mati dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya. – MalaysiaGazette