KUALA LUMPUR – Parti Hak Bersatu Rakyat Malaysia (Urimai) tidak menumpang ‘kereta’ gabungan Perikatan Nasional (PN) untuk mendapat sokongan politik seperti yang sering dirujuk banyak pihak.
Sebaliknya, Presiden Interim Urimai, Dr. P. Ramasamy berkata, Urimai adalah sebuah parti politik bebas yang tidak bersekutu sama ada dengan gabungan pembangkang PN mahupun gabungan Pakatan Harapan (PH).
Jelas beliau, Urimai mungkin mempunyai hubungan mesra dengan beberapa ahli PN tetapi lebih kepada pengukuhan pembangkang di negara ini demi kepentingan demokrasi dan keadilan yang lebih besar.
“Malangnya, beberapa penerbitan di negara ini seolah-olah beranggapan bahawa Urimai menumpang kereta gabungan PN.
“Urimai mungkin kecil atau parti politik yang tidak penting, tetapi kami sangat bebas,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.
Tambah Ramasamy, Urimai tidak pernah meminta kaum India untuk mengundi dan berpihak kepada pakatan pembangkang PN.
Namun, katanya, jika undi kaum India memihak kepada gabungan PN, ia adalah kerana kekecewaan dan rasa tidak puas hati mereka terhadap gabungan kerajaan pimpinan PH.
“Urimai mempunyai peranan tidak formal tetapi berkesan dalam dua pilihan raya (kecil) baru-baru ini iaitu di Kuala Kubu Bharu dan Sungai Bakap.
“Ia mampu meyakinkan segmen tertentu masyarakat India untuk tidak mengundi gabungan pimpinan PH,” katanya.
Tambah beliau, Urimai sedar sepenuhnya tanpa kemerdekaan dan kebebasan penuh, parti itu mungkin tidak berkesan untuk mewakili golongan yang tidak berkuasa dan kurang bernasib baik di negara ini. – MalaysiaGazette