PEKAN – Arwah Nur Farah Kartini Abdullah bukanlah orang luar bagi penduduk Kampung Nyiur Manis, Bentan, di sini.

Ini kerana Allahyarham sentiasa mengunjungi kampung itu  berkenaan mengikut abangnya pulang ke kampung kakak iparnya.

Ibu saudara kepada kakak ipar Nur Farah Kartini, Jalilah Nordin berkata, abangnya selalu bawa arwah ke kampung itu bila kenduri diadakan.

“Arwah kan orang Miri, tiada saudara-mara di sini, jadi selalu ikut abangnya, Mohd Farriza Amir Abdullah pulang ke kampung isteri,” katanya.

Saudara-mara yang ditemui rata-rata senang dengan akhlak bekas penuntut Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) berusia 25 tahun itu yang disifatkan pandai bergaul dengan ahli keluarga sebelah kaka iparnya.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati saudara-mara dan orang kampung mula membuat persiapan pengebumian dengan mendirikan khemah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyiur Manis selepas solat Zohor.

Van  membawa jenazah Nur Farah Kartini yang meninggalkan Unit Forensik Hospital Sungai Buloh, kira-kira jam 2.15 petang tadi tiba di tanah perkuburan itu pada jam 5 petang.

Beliau yang dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan sejak 10 Julai lalu ditemui lima hari dengan keadaannya mayatnya dalam keadaan reput di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor. – MalaysiaGazette